suria

Penggiat Insurans Am Terus Yakini Pasaran Malaysia

KUALA LUMPUR: Jangkaan kemungkinan industri insurans am mencatat pertumbuhan lebih perlahan pada 2016, ternyata tidak mematahkan semangat kalangan penggiat yang sebaliknya kekal optimis terhadap prospek sektor itu dalam pasaran tempatan.

Mereka turut yakin bahawa industri berkenaan masih positif untuk terus mencatat perkembangan pada tahun depan.

"Tidak dinafikan bahawa pertumbuhan sebenar industri insurans am bagi tahun ini adalah di bawah jangkaan. Namun, ia masih tetap positif dan kukuh," kata Ketua Pegawai Eksekutif QBE Insurance (Malaysia), Leo Zanolini.

Malah, QBE yang berpejabat di Australia dan menawarkan pelbagai insurans, turut menyasarkan untuk mengakhiri tahun ini dengan pertumbuhan hampir 20 peratus dari segi premium kasar taja jamin biarpun Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menyasarkan pertumbuhan itu pada sekitar empat peratus.

Pada Ogos lepas, PIAM membuat semakan semula terhadap sasaran pertumbuhan premium kasar taja jamin kepada antara tiga sehingga empat peratus bagi tahun 2015 daripada 5.5 peratus kepada 6.5 peratus, sebelum ini.

Ini disebabkan faktor seperti penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), unjuran ekonomi yang lebih berhati-hati serta penyederhanaan dalam perbelanjaan pengguna akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim Kian Wei, turut berkongsi rasa optimis terhadap prospek insurans am dengan menegaskan bahawa sektor ini mampu mengekalkan pertumbuhan yang berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, pula mengunjurkan industri itu akan meningkat pada 2016, terutamanya dalam tempoh suku pertama.

Sementara itu, sektor insurans am itu mencatatkan premium kasar taja jamin sebanyak RM9.07 bilion bagi enam bulan pertama 2015 iaitu peningkatan yang lebih perlahan sebanyak 2.3 peratus berbanding pertumbuhan 6.4 peratus bagi tempoh sama pada 2014.

PIAM menyifatkan kadar lebih rendah itu adalah disebabkan persekitaran perniagaan dan operasi yang lebih mencabar.

Menurutnya, unjuran lebih berhati-hati serta perbelanjaan pengguna yang menyederhana akibat ketidaktentuan ekonomi beserta kenaikan kos hidup, ternyata menjejaskan kelas pemotoran yang menjadi nadi utama perniagaan insurans berkenaan.

Insurans motor mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 2.1 peratus bagi tempoh berkenaan berbanding 8.3 peratus pada tempoh sama tahun lepas.

Bagi insurans kebakaran yang juga kelompok kedua terbesar, mencatatkan kadar pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 5.0 peratus berbanding 4.2 peratus pada 2014.

Namun, bagi Zanolini, Malaysia adalah sebuah pasaran yang berdaya saing dan QBE sememangnya berkeyakinan terhadap kemampuan negara ini sehingga mendorong syarikat itu mewujudkan 14 cawangan di sini.

"Malaysia adalah pasaran yang amat berdaya saing. Kami juga yakin QBE akan terus mencatat pertumbuhan pada kadar yang lebih memberangsangkan berbanding lain di pasaran," katanya.

QBE yang menyertai pasaran Malaysia pada 1905, telah menumpukan tempoh dua setengah tahun sebelum ini untuk mewujudkan lima cawangan baharunya di Malaysia selain sembilan cawangan sedia ada.

"Kami sememangnya amat serius untuk melabur di Malaysia. Kami yakin kepada  ekonomi serta pasaran insurans negara ini," katanya.

Menurutnya, bersandarkan kehadiran syarikat tempatan serta asing terkemuka yang menawarkan pelbagai produk insurans am di Malaysia, ia terbukti berjaya menarik banyak pelaburan sejak beberapa tahun lepas.

"Malah, dalam banyak keadaan, pelanggan Malaysia terbukti dibanjiri dengan terlalu banyak pilihan," katanya.

Selain itu, Zanolini turut menyambut baik langkah Bank Negara Malaysia untuk melaksanakan pelarasan terhadap insurans am yang dijangka berkuatkuasa pada masa akan datang.

"Kami melihatnya sebagai usaha bagi menjadikan pasaran itu lebih profesional. Ini membolehkan lebih banyak syarikat memaparkan kelebihan masing-masing serta memastikan mereka memiliki lembaran kira-kira yang lebih kukuh.

"Syarikat ini juga dapat mencatat prestasi lebih baik apabila memiliki pelanggan yang lebih berpendidikan," katanya.

Mengulas pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) serta rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimuktamadkan baru-baru ini, Zanolini menganggapnya sebagai perkembangan positif bagi industri insurans am.

"Malaysia dan Australia adalah negara anggota rundingan TPPA. Kami berharap dagangan antara kedua-dua negara ini dapat dipertingkatkan.

"Malah, pembentukan AEC itu turut memberi peluang kepada syarikat Malaysia untuk memperluaskan operasi mereka di sekitar rantau ini," katanya.

Insurans

Artikel Berikut

PIDM Bekerjasama Dengan Cagamas

Artikel Lain