suria

Jobstreet.com Jangka Pasaran Kerja Lebih Baik Pada Suku Pertama 2016

KUALA LUMPUR: Platform carian kerja dalam talian yang terkemuka, Jobstreet.com, menjangkakan pasaran pekerjaan yang lebih baik di Malaysia bagi suku pertama tahun ini berbanding suku terakhir 2015.

Pengurus Negaranya, Chook Yuh Yng berkata, jumlah pekerjaan kosong yang diiklan di Jobstreet.com kelihatan amat mengalakkan dalam minggu pertama tahun ini.

"Pasaran kerja diramal memuncak selepas cuti Tahun Baru Cina sehingga Mac depan di mana majikan berminat untuk mencari pekerja khususnya dalam sektor perkilangan, perbankan, pembinaan, teknologi maklumat, komunikasi dan peruncitan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran Kerjaya dan Latihan Malaysia ke-18 di sini, Jumaat.

Tahun lepas mencatatkan penurunan hanya satu peratus dalam jumlah pekerjaan yang diiklan dalam portal itu berbanding 2014 walaupun dengan keadaan ekonomi yang mencabar.

"Perbankan serta industri minyak dan gas menerima kesan yang paling besar dengan penurunan sebanyak 30 peratus pada tahun lepas," katanya.

Kaji selidik Jobstreet.com untuk 2016 mendapati hanya 12 peratus majikan akan mengurangkan tenaga kerja.

"Di antara cabaran yang dihadapi oleh majikan dalam mengisi jawatan adalah mencari calon yang mempunyai keupayaan untuk bercakap dalam bahasa Inggeris," katanya.

Jobstreet.com hari ini melancarkan 'Company Reviews' satu produk baharu dan mudah digunakan untuk golongan pekerja memberi ulasan mengenai tempat kerja mereka.

Ketua Pegawai Produk SEEK Asia, Jake Andrew, berkata 'Company Reviews'  akan menyediakan satu platform bagi mendapatkan gambaran tempat kerja daripada bekas atau kakitangan yang masih bekerja.-- Bernama


Jobstreet.com, Chook Yuh Yng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain