KOTA TINGGI: Pemilik dan pengurus hotel, Care Luxury Hotels and Resorts, menyasar lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaannya di seluruh negara tahun ini termasuk mengambil alih hotel-hotel lama. Pengarahnya Gan Hong Lee berkata, ketika ini syarikat itu memiliki dan menguruskan tiga aset - Hotel Granada Johor Baharu, Tunamaya Beach and Spa Resort Tioman Island di Pahang dan yang baru dilancarkan hari ini, Desaru Tunamaya Beach and Spa Resort, di sini. "Kini kami sedang berunding dengan satu atau dua pihak yang berdaya maju bagi perniagaan kami. Kami berharap dapat memuktamadkan sekurang-kurangnya satu tahun ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Desaru Tunamaya Beach and Spa Resort, malam tadi. Terdahulu Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merasmikan pembukaan resort tersebut yang pada asalnya dibangunkan sebagai Damai Desaru Resort, sebelum ia diambil alih dan diubah suai oleh Care Luxury Hotels and Resorts. Hong Lee berkata syarikat itu sentiasa mencari lebih banyak perniagaan baharu dari segi perniagaan pengurusan hotel terutamanya di Johor, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang. "Hartanah terbaharu ini terletak di lokasi strategik dan bakal menampung perkembangan pesat pasaran pelancongan liburan dan perniagaan. Sasaran pasaran kami ialah pasaran peringkat pertengahan dan tempatan," katanya. Buat masa ini, purata kadar penghunian bulanan berjumlah kira-kira 30 hingga 40 peratus dan dijangka berkembang lebih 60 peratus dalam masa satu tahun ini,' katanya. Pusat peranginan itu mempunyai 134 bilik dengan kadar bermula daripada RM400 hingga RM1,888.-- Bernama