suria

Kopi PPK Perak Dipasarkan Ke 278 Cawangan

LARUT: Jenama Kopi Peladang akan dipasarkan ke semua 278 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara sebagai usaha untuk meningkatkan permintaan produk itu.

Pengerusi PPK Perak Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata kopi keluaran PPK negeri itu dijangka mendapat sambutan menggalakkan kerana rasanya yang bukan sahaja enak, malah berkhasiat.

Katanya kopi itu mempunyai keistimewaan kerana ia diperbuat daripada campuran biji kopi terpilih bersama khasiat tongkat ali dan ubi jaga.

"Pengeluaran kopi ini yang masih di peringkat awal, merupakan usaha untuk meningkatkan ekonomi.

"Selepas ini kita akan mengeluarkan minuman teh misai kucing dan produk mi serta bihun," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kopi Peladang, pada malam gala Kopi Peladang, di Arena Batu Kurau di sini malam Sabtu.

Menjelas lanjut mengenai produk tersebut, Raja Ahmad Zainuddin berkata ia didatangkan dalam variasi '3 + 1' serta '4 + 1' dan dipasarkan dalam dua bentuk paket papan serta kotak.

"Kopi dalam bentuk paket papan dijual pada harga RM23, dan bentuk kotak RM18 sekotak," katanya yang enggan mendedahkan kos pelaburan awal pengeluaran produk berkenaan.

Menurut Raja Ahmad Zainuddin pengeluaran peringkat awal sebanyak 5,000 papan mengandungi 10,000 paket, mendapat permintaan baik, termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Ada PPK telah membuat 5,000 pesanan bagi mendapatkan kopi ini, dan PPK Batu Kurau sahaja mempunyai 3,000 anggota yang boleh menjadi pengguna kopi ini," katanya.

Raja Ahmad Zainuddin yang juga Pengerusi PPK Batu Kurau berkata pihaknya juga sedang meninjau peluang pasaran kopi ini di Timur Tengah dan China, memandangkan kopi mendapat permintaan yang baik di negara berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga akan mewujudkan kiosk kopi bagi memudahkan orang ramai mendapatkan kopi tersebut selain berhasrat memindahkan operasi PPK Batu Kurau ke Taiping tidak lama lagi. 

Kopi Peladang, Perak

Artikel Lain