PUTRAJAYA: Agrobank pada Selasa melancarkan program pembiayaan mikro, Agro Bakti, khusus untuk membantu usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) menjalankan atau mengembangkan perniagaan berasaskan pertanian dan industri asas tani. Program pembiayaan dengan dana permulaan sebanyak RM5 juta itu dilancarkan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim di sini. Ahmad Shabery berkata program Agro Bakti itu menyediakan pembiayaan mikro dengan jumlah minimum RM3,000 sehingga RM50,000 tanpa sebarang cagaran, manakala kadar keuntungan kekal pada 5.5 peratus. "Dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun, program ini terbuka kepada golongan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mana-mana pertubuhan OKU yang berdaftar," katanya pada sidang media selepas pelancaran itu. Ahmad Shabery berkata antara syarat permohonan ialah OKU perlu menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya setahun dari tarikh memohon. Sementara itu, Rohani yang mengalu-alukan pelancaran Agro Bakti berkata ia dapat meningkatkan pendapatan usahawan OKU. Selain mampu memberi inspirasi kepada OKU menceburi perniagaan, program itu juga bakal memberi peluang kepada 256 usahawan OKU sedia ada untuk memperkasa dan mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi, katanya. Rohani berkata kementerian itu juga menyasarkan untuk mendaftar sejuta OKU di bawah JKM dalam tempoh tiga tahun akan datang daripada 365,000 orang ketika ini.