KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines meraikan kedatangan Tahun Baru Cina dengan hidangan istimewa di Golden Lounge syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA). Penumpang dengan tiket kelas pertama serta ahli kad Enrich Platinum yang menikmati hidangan di ruang kelas pertama boleh menikmati salad Yee Sang, sajian itik serta tart nanas. "Hidangan ini akan tersedia bermula hari ini dan sepanjang musim perayaan sehingga 14 Jan," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan. Sementara itu sajian pilihan Dim Sum, salad Yee Sang dan tart nanas akan dihidangkan di bahagian perniagaan Golden Lounge mulai 7-9 Feb. "Menu perayaan kami mencerminkan budaya masyarakat majmuk Malaysia. Kami gembira untuk memperkenalkan hidangan ini kepada penumpang kami sebagai sebahagian daripada sambutan Tahun Baru Cina," kata Ketua Pegawai Komersialnya, Paul Simmons. Sementara itu, Malaysia Airlines mengingatkan kepada para penumpang yang melakukan perjalanan semasa musim perayaan ini agar mendaftar masuk menerusi laman webnya di www.malaysiaairlines.com atau MHmobile di flymas.mobi seawal 48 jam sebelum berlepas. Penumpang juga boleh menggunakan kiosk daftar masuk sendiri di KLIA dan lapangan terbang domestik lain.