KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd melancarkan penerbangan terus empat kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Shantou, China, yang dibuka untuk tempahan mulai Rabu dengan promosi tambang termasuk semua bermula RM88 bagi perjalanan sehala, termasuk cukai dan fi. Penerbangan akan bermula 25 Mac, 2016 itu merupakan laluan eksklusif ke-14 ke China dari Malaysia, dikendalikan oleh AirAsia dengan menggunakan pesawat Airbus A320 berkapasiti 180 tempat duduk, menurutnya dalam satu kenyataan di sini, Rabu. Promosi tambang termasuk semua itu boleh didapati melalui tempahan dalam talian di airasia.com, serta aplikasi mudah alih AirAsia melalui peranti iPhone dan Android mulai hari ini sehingga 22 Feb. Tempoh perjalanan bagi promosi tambang termasuk semua itu adalah dari 25 Mac, 2016 hingga 5 Feb, 2017. Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee berkata terdapat permintaan bagi laluan tersebut. Syarikat itu yakin penerbangan berkenaan akan meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dari China terutamanya dengan pengumuman mengenai kemudahan visa baru-baru ini. Dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelancong China tidak perlu memohon visa untuk melawat Malaysia antara 1 Mac dan 31 Dis tahun ini, sekiranya melancong bagi tempoh kurang 15 hari.