KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd meraih RM52 juta lagi untuk dana pelaburan bersama melalui penyertaan enam rakan kongsi baharu dalam rangkaian pelaburan bersama ekuiti. Rakan kongsi tersebut termasuk Marna Capital Sdn Bhd, Nexea Angels, 1337 Ventures Sdn Bhd, IV Gagasan Sdn Bhd, IMJ Investment Partners Pte Ltd dan N Capital Partners Sdn Bhd. Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan berkata rakan kongsi baharu itu secara kolektif membawa masuk RM26 juta dan dengan sumbangan padanan syarikat sebanyak RM26 juta lagi, dana pelaburan bersama itu kini bernilai RM159.2 juta. Nazrin berkata setiap rakan kongsi pelaburan bersama itu akan membiayai sehingga RM500,000 untuk syarikat permulaan teknologi Malaysia yang berkaliber tinggi. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Cradle Fund dan enam rakan kongsi pelaburan bersama ekuiti di sini, Isnin. Nazrin berkata penyertaan terkini rakan kongsi tersebut akan menjadikan jumlah bilangannya kepada 20 berbanding 14 sebelum ini. Sebelum pengumuman mengenai rakan kongsi baharu itu, katanya RM107.2 juta diraih daripada empat perkongsian pelaburan bersama Cradle Fund sebelum ini. Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Cradle Fund Juliana Jan berkata kumpulan itu menyasarkan 15 rakan kongsi pelaburan bersama pada tahun ini. "Kami menyasarkan untuk memuktamadkan sembilan lagi urus niaga pelaburan bersama pada tahun ini," katanya. Program pelaburan bersama itu adalah antara usaha Cradle Fund menyokong kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan agensi berkaitan kerajaan kepada pembiayaan kerajaan dan menggalakkan lebih banyak pelaburan swasta untuk membiayai syarikat permulaan teknologi tempatan.-- Bernama