suria

Perkeso Sasar 50,000 Majikan Daftar Pekerja Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan 50,000 majikan mendaftar dengan mereka tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pihaknya mengharapkan lebih banyak majikan tampil berbuat demikian untuk membolehkan mereka dan pekerja mendapat perlindungan Perkeso.

"Jika pada 2014 kami rekodkan 41,847 majikan mendaftarkan pekerja dengan Perkeso dan 2015 pula sebanyak 49,751, kami harap angka itu akan bertambah tahun ini.

"Kami percaya masih ramai majikan yang aktif menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja masih belum mendaftar. Jadi, tahun ini kami tambah 400 lagi anggota di seluruh negara bagi jayakan Op Kesan kelapan ini," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Perkeso, di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Mohammed Azman meminta mana-mana majikan mendaftar secara sukarela di 49 pejabat Perkeso di seluruh negara sehingga 30 Mac ini bagi mengelak dikenakan kompaun antara RM500 dan RM4,000 serta tindakan mahkamah sekiranya gagal membayar kompaun.

"Sekiranya disabitkan kesalahan, majikan berkenaan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohammed Azman berkata antara faktor kegagalan majikan mendaftar dengan Perkeso adalah kekurangan kesedaran serta kefahaman mengenai Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, selain sikap majikan yang mengambil mudah kewajipan mendaftarkan pekerja.

Akta itu menggariskan jaminan rawatan perubatan percuma, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan faedah kewangan kepada pekerja yang hilang upaya akibat kemalangan atau mengidap penyakit yang menyebabkan kekurangan upaya bekerja atau hilang upaya untuk bekerja.

Ia juga menggariskan sekiranya pekerja meninggal dunia, orang tanggungan mereka diberi jaminan kewangan dengan menerima pencen bulanan bagi meneruskan kehidupan.

Sementara itu, seorang majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang enggan namanya disiarkan berkata kekangan masa menyebabkan beliau tidak mendaftarkan tiga pekerjanya.

"Saya harap ada sistem yang lebih mudah seperti pendaftaran dalam talian supaya urusan pendaftaran dapat dibuat pada bila-bila masa dan di mana sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Seksyen Penguatkuasaan dan Bahagian Operasi Hairiri Harun mengakui Perkeso setakat ini belum mempunyai sistem pendaftaran dalam talian tetapi bercadang membangunkan sistem seumpama itu pada masa akan datang bagi memudahkan majikan berbuat demikian. 

Perkeso

Artikel Lain