suria

Nippon Electric Glass Tambah RM80 Juta Untuk Pelaburan Di Malaysia

Azman Mahmud

KUALA LUMPUR: Pengeluar kaca khas Jepun, Nippon Electric Glass (NEG) akan menambah RM80 juta pelaburan bagi mengembangkan kilangnya di Malaysia pada Julai tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) Datuk Azman Mahmud berkata, pelaburan tambahan itu menunjukkan keupayaan kilang tersebut dalam memenuhi peningkatan permintaan untuk tiub kaca berkualiti tinggi.

"Ini juga mengesahkan nilai Malaysia sebagai tapak asas yang mampan dan menguntungkan di Asia Tenggara dan yang lebih mengujakan, pelaburan ini membawa bersama-sama teknologi peleburan kaca serta proses pembentukkan yang terkini.

"Projek pembesaran ini akan menyediakan tambahan 30 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, khususnya di Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

Mida berkata, pengembangan itu akan membolehkan NEG meningkatkan pengeluaran tiub kaca untuk kegunaan farmaseutikal dan perubatan, seperti ampul dan vial termasuk aplikasi dalam picagari pra-isi serta pen suntikan.

Tiub kaca adalah amat berkesan dalam mengurangkan risiko pencemaran oleh bahan-bahan asing dan menghapuskan risiko kesilapan perubatan, sekarang ini,  NEG Malaysia merupakan satu-satunya pengeluar tiub kaca perubatan di Asean.

Azman berkata setakat ini NEG telah melabur lebih RM6 bilion di Malaysia dan mengupah lebih daripada 1,000 pekerja Malaysia, syarikat itu juga menyumbang secara positif kepada eksport Malaysia di mana 98 peratus produk khususnya adalah untuk pasaran eksport.-- Bernama

Artikel Lain