PUTRAJAYA: Sepuluh produk terbaik daripada kira-kira 130 hasil ciptaan 26 organisasi tempatan yang berpotensi dikomersialkan, akan dipilih untuk menerima peruntukan RM100,000 setiap satu bersempena program Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016. Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata organisasi itu merangkumi 13 agensi atau institut penyelidikan, lima universiti penyelidikan serta lapan agensi pembangunan teknologi. Organisasi terbabit perlu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sempena Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 dengan penghasilan sekurang-kurangnya lima produk bagi tujuan pengkomersialan. Menurutnya, program hasil kerjasama MOSTI dan Kementerian Kewangan akan menyaksikan setiap agensi akan membentangkan laporan kemajuan pada Jun ini. "Jika sebelum ini usaha pengkomersialan dibuat tanpa hala tuju yang jelas, namun menerusi program ini produk ciptaan R and D (penyelidikan dan pembangunan) tempatan akan dipastikan mampu berdaya saing bagi menembusi pasaran antarabangsa. "KPI ini juga akan dipantau selama dua tahun dengan sasaran setiap produk akan dikomersialkan dengan kerjasama sinergi termasuk oleh agensi penggalakan pelaburan dan pembangunan kapasiti 'technopreneur' (usahawan muda)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pembentangan mengenai KPI berkenaan, di sini, Jumaat. Mengulas lanjut, Noorul Ainur berkata, majlis pengiktirafan 10 produk terbaik berkenaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 1 hingga 3 November depan. Semalam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata 10 produk itu akan dipilih berdasarkan ciri-ciri inovatif, kreatif serta bersifat 'rakyat' iaitu yang menggunakan sumber bahan tempatan. Insentif RM100,000 yang diberikan kepada produk itu juga akan dipantau kegunaannya oleh kementerian bagi memastikannya dimanfaatkan dengan betul untuk tujuan pemasaran, pembungkusan dan promosi supaya dapat dikomersialkan.-- Bernama