KUALA LUMPUR: Sona Petroleum Bhd menangguhkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini untuk memberikan masa kepada para pemegang saham memahami implikasi kemungkinan pembayaran balik modal yang dicadangkan bagi pengambilalihan Stag Oilfield di luar pesisir Australia Barat. EGM itu akan diadakan dalam tempoh sebulan bagi memperoleh keputusan mengenai pengambilan yang bernilai US$25 juta itu. Pengerusi Andreas Johannes Raymundus van Strijp berkata Sona Petroleum berharap untuk mendapatkan sokongan semua pemegang saham pada EGM yang akan datang, mungkin dalam tempoh satu atau dua minggu lagi. "Punca penangguhan EGM tersebut adalah disebabkan sebilangan daripada pemegang saham kami tidak jelas mengenai kemungkinan pembayaran balik modal yang telah kami terbitkan pada minggu lepas. "Mereka merasakan mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memahami sepenuhnya implikasi pengumuman tersebut dan mereka mahu lebih banyak maklumat sebelum menurunkan undi," katanya kepada pemberita. Butiran mengenai mesyuarat itu tidak boleh diperincikan sekarang ini memandangkan satu kenyataan rasmi sedang dibuat untuk makluman Bursa Malaysia. Sona Petroleum pada Jumaat lepas, mencadangkan pembayaran balik modal sebanyak RM80 juta di mana ia melibatkan persetujuan pemegang saham yang akan dibuat dalam EGM pada Rabu. Cadangan pengambilalihan aset daripada Quadrant Northwest Pty Ltd dan Santos Offshore Pty Ltd, yang diniatkan sebagai pengambilalihan kelayakan Sona Petroleum, akan membolehkan ia menjadi syarikat minyak dan gas huluan yang bebas.