KUALA LUMPUR: Ronser Bio-Tech Bhd menyasarkan pengusaha hotel yang mesra alam dan industri perubatan sebagai sasaran pasaran bagi teknologi rawatan air terbarunya yang dipanggil buih nano. Ketua Pegawai Eksekutif Dr Pua Eng Teck berkata teknologi terkini itu akan terus menyokong pertumbuhan syarikat kepakaran penyelesaian rawatan sisa air bersepadu itu berikutan Malaysia merupakan negara kedua yang ditawarkan teknologi tersebut selepas Jepun. "Teknologi yang diterima pakai dari Jepun itu adalah untuk rawatan air dan rawatan sisa air," katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum pemahaman dan perjanjian pemindahan teknologi dengan Universiti Shanghai Jiao Tong serta Asia Science and Water Technology Co Ltd (Inc Jepun) di sini, Jumaat. Teknologi ITU menggunakan buih nano bertekanan tinggi yang mampu melepaskan ion-ion negatif bagi menarik bakteria dan membersihkan air, ia juga amat menjimatkan kos. Suria Resorts Management Sdn Bhd, menjadi pelanggan pertama teknologi itu dan pemasangan dijangka dibuat dalam tempoh empat bulan. "Ronser Bio-Tech juga telah dihubungi oleh kerajaan Mauritius yang menyatakan minat untuk memasang teknologi itu di pulau tersebut," katanya. Kata Eng Teck, teknologi itu juga sesuai untuk kegunaan isi rumah.-- Bernama