suria

Malaysia Antara 10 Destinasi Utama FDI Di Asia

KUALA LUMPUR: Malaysia menduduki ranking 10 destinasi pelaburan langsung asing (FDI) pilihan utama di Asia Pasifik, demikian menurut kajian oleh syarikat teknologi maklumat global yang berpusat di Amerika Syarikat, IHS Inc.

Kawasan tumpuan lain FDI di Asia Pasifik ialah China, Indonesia, Vietnam, Filipina, Myanmar, Thailand, India, Sri Lanka dan Bangladesh.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, IHS berkata dalam tempoh sedekad akan datang, Asia Pasifik diunjur menjadi kawasan ekonomi global paling pesat berkembang, dan rantau yang menawarkan potensi keuntungan FDI paling tinggi.

"Asia Pasifik akan berkembang pada kadar tahunan 4.5 peratus, didorong oleh  pertumbuhan pesat dalam perbelanjaan pengguna di China, India dan Asia Tenggara," kata Ketua Ekonomi IHS bagi Asia Pasifik, Rajiv Biswas.

Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand juga dijangkakan menyertai negara Asia lain yang mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi US$1 trilion menjelang 2030, kata IHS.

"Ini akan membantu meningkatkan kedudukan ASEAN yang penting dari segi geografi dan ekonomi dalam diplomasi antarabangsa serta dialog global dalam perdagangan, pelaburan dan penetapan piawaian antarabangsa," kata Biswas.

IHS berkata Asia Tenggara dijangkakan menjadi antara rantau paling pesat berkembang di dunia menerusi empat anggota ASEAN berkenaan.

Merujuk Malaysia sebagai bakal ekonomi paling maju di Asia, laporan IHS menyebut bahawa ekonomi Malaysia diunjur mencatat KDNK perkapita US$20,000 menjelang 2025, dengan jumlah KDNK melepasi US$1 trilion menjelang 2030.

Biswas berkata struktur ekonomi Malaysia akan terus bergerak ke arah perkhidmatan dan pembuatan bernilai tambah yang tinggi.

"Industri pertumbuhan strategik dalam sektor pertumbuhan meliputi perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan, penerbangan komersial, pelancongan dan industri penyumberan luar proses perniagaan-IT, apabila Malaysia menjadi ekonomi yang semakin penting dalam perkhidmatan dan ekonomi pengeksportan perkhidmatan bagi Asia Tenggara," kata Biswas.

KDNK Indonesia dijangkakan berkembang pada kadar lima peratus setahun dalam tempoh 2016-2020, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam permintaan pengguna dan pelaburan infrastruktur, katanya.

"Menjelang 2020, Indonesia bakal menjadi negara dengan saiz KDNK melebihi US$1 trilion, dan pada 2030, KDNK Indonesia dijangkakan melebihi US$3.7 trilion," kata Biswas, dan menambah Indonesia merupakan ekonomi terbesar di Asia Tenggara dan pasaran paling pesat membangun di dunia.

Filipina pula katanya telah menunjukkan purata pertumbuhan KDNK yang pesat pada sekitar enam peratus setahun dalam tempoh 2011-2015, dengan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.8 peratus diunjurkan dalam tempoh 2016-2018.

"Saiz ekonomi Filipina diunjur berkembang daripada US$300 bilion pada 2016 kepada US$700 bilion pada tahun 2025, dan US$1 trilion pada 2030," kata Biswas.

Sementara itu, pasaran Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos juga diunjurkan terus berkembang pesat.

Kajian IHS menunjukkan ekonomi Vietnam akan tumbuh pada kadar kira-kira 6.5 peratus setahun dalam tempoh jangka sederhana, dengan pertumbuhan pesat alam eksport pembuatan elektronik dan pakaian yang memacu pembangunan industri.

"Perjanjian Perdagangan Bebas baharu EU-Vietnam dan pelan TPPA akan meningkatkan akses pasaran eksport pembuatan Vietnam ke EU dan Amerika Syarikat hasil daripada pengurangan ketara halangan tarif," katanya.

Artikel Lain