suria

Bank Rakyat Usaha Tarik 60 Peratus Anggota Koperasi Langgan Produknya

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat kini berusaha untuk menarik 60 peratus daripada hampir sejuta anggota koperasi untuk melanggan produknya menjelang akhir tahun daripada 40 peratus sekarang ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata hanya 40 peratus, atau kira-kira 400,000 anggota  yang menggunakan produk bank seperti pinjaman dan kad kredit.

Bakinya hanya memegang saham dan menikmati dividen tinggi yang diumumkan oleh bank, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2016 di sini, Sabtu.

Bank Rakyat mengisytiharkan dividen tunai sebanyak 13 peratus berjumlah RM385 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2015, disokong oleh perolehan lebih kukuh sebanyak RM6.43 bilion bagi 2015 berbanding RM6.06 bilion yang dicatatkan pada 2014.

Hamzah berkata Bank Rakyat, dengan aset berjumlah RM92.40 bilion pada 2015, menduduki tempat ke-12 bank koperasi terbesar di seluruh dunia dan boleh dianggap sebagai bank koperasi Islam terbesar di dunia.

Pengerusi Bank Rakyat Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata bank akan melancarkan program Pelaksanaan Transformasi Perhubungan Anggota pada 7 Mei ini dalam usaha menarik lebih banyak anggota melanggan produknya.

Beliau berkata program itu bertujuan meningkatkan kualiti, kepuasan dan pengalaman anggotanya apabila melanggan produk bank.

Abdul Aziz berkata, antara 300 dan 400 anggota koperasi daripada 700 anggota, yang menghadiri AGM hari ini, layak untuk membeli sehingga 5,000 unit saham Bank Rakyat mulai 18 hingga 29 April tahun ini.

"Ini sebagai tanda penghargaan kepada anggota kami yang setia," katanya.

Artikel Lain