KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsia X (AAX), menyasar untuk meningkatkan kapasiti operasi sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus tahun ini, dipacu oleh penambahan kekerapan penerbangan ke Australia serta pengenalan destinasi baharu. Ketua Pegawai Eksekutif Benyamin Ismail berkata destinasi baharu berkenaan akan diperkenalkan tahun ini sebagai tambahan kepada destinasi yang baru dilancarkan, Auckland. "Dua daripada destinasi baharu berkenaan adalah di China," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pakej perjalanan "Niseko Super Summer Saver" di sini hari ini. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan destinasi baharu yang lain. Benyamin berkata syarikat penerbangan itu juga menyasar untuk kembali mencatatkan untung tahun ini berikutan keputusan kewangan yang menguntungkan bermula suku keempat tahun lepas. "Hasil meningkat. Saya amat gembira syarikat menunjukkan prestasi yang agak baik. (Pada) suku keempat, syarikat kembali mencatatkan keuntungan dan saya harap atas dasar tahunan juga. Kami perlu memastikannya konsisten," katanya. Beliau berkata faktor muatan AAX berada pada purata 83 peratus dan syarikat penerbangan menyasar untuk mengekalkannya berikutan penyerahan dua pesawat baharu pada Mei dan Jun. Bagi destinasi Hawaii, beliau berkata syarikat penerbangan masih berusaha mendapatkan kebenaran daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS. "Kami sedang berusaha...tetapi jika Hawaii berjaya, penerbangan hanya pada akhir tahun untuk musim sejuk," katanya. Mengenai langkah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menaikkan caj, beliau berkata kenaikan dalam yuran memberi kesan minimum kepada AAX. "Caj DCA itu dengan caj yang disemak semula dan impaknya akan minimum. Pada dasarnya, perlulah mencari hasil bukan aeronautikal lain bagi mengatasi kesan tersebut," katanya. Sementara itu, mengenai Niseko Super Summer Saver, beliau berkata pakej perjalanan termasuk semua itu akan menyediakan peluang bagi lebih ramai rakyat Malaysia bercuti di Niseko, Hokkaido, Jepun pada harga yang berpatutan. Pengerusi AAX Tan Sri Rafidah Aziz berkata pengenalan pakej perjalanan itu adalah bersempena dengan peningkatan kekerapan penerbangan kepada lima kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Sapporo, Hokkaido bermula Jumaat ini. Beliau berkata AAX juga berharap untuk dapat meningkatkan kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sapporo kepada penerbangan harian menjelang Disember. Pakej perjalanan hasil perkongsian dengan penginapan butik, My Ecolodge, itu adalah bagi pakej kumpulan khas dengan minimum 10 orang satu kumpulan pada harga antara RM3,900 dan RM4,800 seorang termasuk penerbangan pergi balik (Kuala Lumpur-Sapporo) untuk empat atau lima malam. My Ecolodge diuruskan oleh Fairlane Hospitality, cabang hospitaliti Low Yat Group.