suria

Malaysia Sedia Bangunkan Sektor Tenaga Asean

Pengarah Eksekutif Edra Datuk Mark Ling.

KUALA LUMPUR: Pemerolehan Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) membabitkan RM9.83 bilion -- pelaburan asing tunggal terbesar di Malaysia oleh China General Nuclear Power Corporation (CGN), meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang kukuh untuk membangunkan sektor tenaga Asean, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra Datuk Mark Ling, Khamis.

Beliau memberitahu Bernama bahawa Edra, yang disokong oleh permodalan CGN sebanyak US$60 bilion, kini boleh menyambungkan grid Trans-Asean dari Filipina ke Sabah, Sarawak dan Sumatera.

"Kami kini dapat serta-merta meningkatkan peluang dan komitmen, suatu peluang yang sudah pun menunggu selama ini namun tidak dapat disambut," katanya.

CGN, syarikat tenaga bersih terkemuka di dunia, menyelesaikan pengambilalihan Edra, pengeluar tenaga bebas kedua terbesar (IPP) Malaysia, bulan lepas, menjadikannya penggabungan dan pengambilalihan perjanjian terbesar di negara ini tahun ini.

Edra ditubuhkan pada 2014 hasil penggabungan tiga IPP utama di Malaysia, Powertek Energy Group, KLPP Group dan Jimah Energy Group, masing-masing dengan sejarah mengagumkan dalam pembangunan, operasi dan penyelenggaraan loji tenaga.

Ling berkata Kerajaan Malaysia telah mengkaji projek kabel dasar laut yang sekurang-kurangnya mempunyai satu lingkaran elektrik untuk digunakan di rantau ini dari Asia Tenggara ke China.

"Akhirnya, Malaysia mahu menjangkaui sehingga ke Bangladesh dan India," katanya.

Edra mempunyai portfolio 13 loji tenaga dan penyahgaraman di lima negara termasuk Mesir, Bangladesh dan Pakistan.

Beliau berkata berdasarkan kehadiran Edra di negera ini, ia mempunyai keistimewaan untuk memahami perjanjian pembelian tenaga, selain sudah biasa dengan Suruhanjaya Tenaga di tempat-tempat tersebut.

"Kami mempunyai hubungan kerja yang baik dengan negara-negara ini, dan kini memanfaatkan aset-aset dan hubungan, dan justeru itu CGN memandang tinggi Edra dan menghargai nilainya.

"Oleh itu, apabila syarikat melihat pada nilai dan menilai semula asetnya, ia perlu menyelaraskan dengan tempoh masa perjanjian pembelian tenaga bagi  mendapatkan nilai terbaik. Berdasarkan kepelbagaian kawasan dan kepelbagaian aset, Eropahlah destinasinya. Kami mungkin mengkaji Afrika Utara, di lokasi Mesir ... di sinilah kami ingin berkembang," katanya.

Ling juga bercakap mengenai dua ciri utama yang wujud dalam industri tenaga, keupayaan untuk memanfaatkan dan pemerolehan dana serta kerja-kerja pembangunan.

Edra menghargai CGN yang membolehkan syarikat itu menembusi pasaran itu secara serius.

Disokong oleh 30,000 tenaga kerja berpengalaman CGN, Edra juga mahu  mengkaji operasi di peringkat serantau dan tempatan.

"Dalam kes Edra di Mesir dan Bangladesh, sebahagian besar pekerja terdiri dariapda penduduk tempatan, dan di Malaysia, 100 peratus pengurusan dikekalkan.

Nilai terbesar yang kami boleh berikan kepada pekerja kami ialah membolehkan mereka memiliki pengalaman dan latihan terbaik supaya mereka menjadi pekerja  terbaik dalam pasaran," katanya.

Secara peribadi, Ling yang berasal dari Sarawak, berkata: "Saya sangat bangga mengetuai semua syarikat tenaga di Malaysia, menjadi penduduk Sarawak pertama mengetuai Edra, bersama CGN yang merupakan syarikat nuklear terbesar di China."

"Dan kehadiran seorang penduduk Sarawak mengetuai Edra, merupakan suatu  penghormatan kepada kami dari Sarawak, kita perlu faham bahawa tidak ada halangan dalam menyakinkan seluruh dunia bahawa kita boleh melakukannya. Dan saya secara serius akan mengenal pasti perniagaan tenaga baharu di Sarawak".

Edra, Asean

Artikel Lain