ALOR SETAR: Bank Rakyat menyampaikan sumbangan zakat berbentuk sebuah van jenazah kepada Masjid Al Rahmah, Mergong di sini bagi memudahkan urusan pengebumian penduduk di sekitar kariah berkenaan. Van bernilai lebih RM120,000 diserahkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kepada pengerusi masjid tersebut, Mohd Shahbuddin Itam, yang disaksikan oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Kualiti Bank Rakyat, Saliman Zainal. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana memilih masjid ini untuk menerima sumbangan yang saya rasa cukup berharga kepada penduduk di sini. "Diharap sumbangan ini akan memudahkan lagi pengurusan jenazah dan dapat dimanfaatkan penduduk setempat," kata Ahmad Bashah ketika berucap pada majlis penyerahan van itu, di sini, Jumaat. Katanya selain untuk urusan pengebumian jenazah, van tersebut juga boleh digunakan untuk tujuan membawa penumpang terutamanya anggota jawatankuasa masjid untuk kerja kebajikan dan sosial kepada masyarakat setempat.