suria

Fama Sasar RM20 Juta Setahun Jualan Agrobazaar Online

KOTA KINABALU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan sekurang-kurang RM2 juta setahun diperoleh daripada hasil jualan produk agro makanan dan pertanian secara dalam talian menerusi www.agrobazaar.com.my.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Mansor Osman berkata setakat ini, hasil jualan diperoleh menerusi kaedah terkini memasarkan produk agro makanan itu ialah RM250,000 sejak ia diperkenalkan pada Disember 2014 hingga 2015.

Bagaimanapun, katanya, FAMA akan sentiasa mempertingkat sistem dan operasi AgroBazaar Online untuk memastikan sasaran boleh dicapai.

"Perjalanan masih panjang lagi dan kejayaan AgroBazaar Online ini bergantung kepada usahawan kerana mereka perlu mempromosikan sendiri produk masing-masing menerusi platform yang FAMA sediakan ini.

"Tahun ini, (AgroBazaar Online) sudah dilengkapi dengan cara pembayaran sementara FAMA sudah ada logistik untuk penghantaran," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kursus Keusahawanan Pemasaran Agromakanan Secara Dalam Talian di sini, Selasa.

Kursus pengenalan selama dua hari disertai 150 usahawan pertanian dan agro makanan dari Sabah itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, AgroBazaar Online adalah saluran dijamin kerajaan dan FAMA akan memberikan ganti rugi kepada pembeli jika produk dibeli tidak sampai selain mereka boleh membuat aduan jika menghadapi sebarang masalah.

Katanya AgroBazaar Online ketika ini mempunyai 15,467 komuniti dengan 1,131 kedai beroperasi secara dalam talian.

Mansor berkata FAMA sentiasa komited memberi pendedahan berhubung AgroBazaar Online bagi menggalakkan lebih ramai usahawan industri asas tani mendaftar untuk menggunakan kaedah itu sekali gus meningkatkan jualan produk mereka.

Namun, katanya setiap usahawan perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia selain memastikan kualiti produk terjamin, mempunyai sijil halal serta dilengkapi gambar dan penjelasan produk sebelum pendaftaran diluluskan.

"Ini bagi memastikan AgroBazaar Online adalah platform selamat dan diyakini selain (pembeli) boleh mendapatkan produk agro makanan berkualiti," katanya dan menambah FAMA antara lain bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk perkhidmatan penghantaran.

Artikel Lain