suria

Bank-Bank Islam Malaysia Catatkan Kestabilan Pertumbuhan Berbanding Indonesia

KUALA LUMPUR: Bank-Bank Islam di Malaysia menunjukkan kestabilan pertumbuhan dan kualiti aset yang lebih tinggi berbanding dengan perbankan Islam di Indonesia, walaupun berhadapan dengan cabaran makro ekonomi yang sama, kata Moody's Investor Service.

Moody's dalam satu laporan baru-baru ini menyatakan bank-bank Malaysia dan Indonesia merekodkan pertumbuhan yang perlahan dalam pembiayaan Islamik, ini mencerminkan kelembapan ekonomi di negara masing-masing.

Bagaimanapun, laporan itu membukikan bahawa kelembapan di Indonesia adalah  lebih ketara, dengan pertumbuhan sektor pembiayaan Islam perlahan dengan mendadak di bawah 10 peratus dari tahun ke tahun dalam 2014 dan 2015, berbanding 50 peratus pada 2011.

Naib Presiden dan penganalisis kanan, Simon Chen berkata perbezaan antara dua sistem tersebut adalah jelas walaupun kedua-dua ekonomi itu mempamerkan aliran pertumbuhan kredit dan ekonomi yang sama.

"Prestasi bank-bank Islam Malaysia yang lebih baik berbanding dengan rakan-rakan mereka di Indonesia khususnya dari segi pertumbuhan aset menunjukkan perbankan Islam Malaysia memiliki francais yang lebih mantap, penembusan pasaran yang lebih mendalam serta sokongan kawal selia yang erat," katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Laporan Moody's juga menegaskan bahawa pada 2015, sektor perbankan Islam Malaysia menyumbang kepada 27 peratus daripada jumlah aset sistem perbankan berbanding hanya 5.0 peratus di Indonesia.

Selain daripada skala perbankan Islam yang lebih besar di Malaysia, bank-bank ini juga menunjukkan kepelbagaian campuran portfolio yang lebih banyak berbanding dengan Indonesia.

Hasilnya, Moody's berkata, pertumbuhan dan kualiti aset bank-bank Islam di Malaysia dan Indonesia akan terus berkembang.-- Bernama


Artikel Lain