KANGAR: Pemberian sijil audit bersih kepada Tabung Haji (TH) oleh Ketua Audit Negara bagi 2015 menunjukkan urus tadbir, ketelusan dan kecekapan agensi itu tidak boleh ragui. Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani berkata, pengauditan oleh Jabatan Audit Negara terhadap agensi itu dibuat sepanjang tahun dan keputusannya dikeluarkan baru-baru ini. Menurutnya, kejayaan TH mencatat keuntungan tertinggi tahun lepas, iaitu pencapaian terbaik sejak ditubuhkan, turut mencerminkan pengurusan baik dan cekap agensi berkenaan. "Sektor saham menjadi penyumbang tertinggi berbanding sektor lain yang diceburi TH tahun lepas selain sentiasa berusaha mencari peluang pelaburan baharu yang menguntungkan," kata Adi Azuan. Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Program Ehsan TH iaitu tangunggjawab sosial korporatnya berjumlah RM43,000 kepada 86 orang asnaf di Perlis di sini, Rabu. Katanya, TH membuat kajian mendalam sebelum membuat pelaburan agar terus meraih keuntungan supaya subsidi menunaikan haji dapat diberikan kepada jemaah setiap tahun. Menurutnya, TH menanggung subsidi RM7,290 bagi setiap jemaah yang bermakna mereka hanya membayar RM9,980 walaupun kos menunaikan haji telah meningkat kepada RM17,270 seorang. "Saya ingin menjelaskan bahawa setiap pelaburan TH seperti dalam sektor perladangan, hartanah, kewangan Islam, takaful dan urus niaga saham adalah patuh syariah. "Pendeposit tidak perlu bimbang. Kedudukan TH adalah kukuh. Saya harap mereka tidak akan terpengaruh dengan tohmahan terhadap TH," katanya. Menurut Adi Azuan, pendeposit yang menutup akaun dan membatalkan pendaftaran haji dan apabila membuka semula dikira sebagai akaun baru dan pendaftaran haji mereka sebelum itu terbatal. Ketika berucap sebelum itu beliau berkata, TH memperuntukkan RM2.2 juta bagi melaksana Program Ehsan TH sempena Ramadan tahun ini dengan sumbangan RM500 seorang kepada 4,408 asnaf di seluruh negara. Katanya TH sentiasa beriltizam untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporatnya dalam membantu umat Islam, khususnya ibu tunggal, bapa tunggal, warga emas dan anak-anak yatim.