GUA MUSANG: Bank Muamalat Malaysia Berhad menyasarkan untuk mempertingkatkan penggunaan teknologi perbankan yang diamalkannya dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata, selain sejajar perkembangan teknologi semasa, bank itu juga berasakan perlu untuk memiliki keupayaan bagi membolehkannya bersaing di peringkat global. "Ini seperti penggunaan e-wallet (dompet elektronik) yang akan menjadi instrumen menghubungkan pihak bank kepada masyarakat berbanding pendekatan konvensional yang mana pelanggan perlu ke bank untuk melakukan urusan berkaitan. "Walaupun pertumbuhan perbankan Islam di negara ini adalah antara 30 hingga 35 peratus yang melebihi perbankan konvensional, namun perbankan Islam didapati tidak melakukan inisiatif-inisiatif baharu (bagi merancakkan lagi pertumbuhan mereka)," tegasnya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan cawangan Bank Muamalat Gua Musang yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank berkenaan, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, di sini, Ahad. Mengulas pembukaan cawangan baharu bank itu, Mohd Munir berkata ia merupakan cawangan keenam bank tersebut di Kelantan. "Kami menyasarkan dapat menambah 10,000 pelanggan baharu dengan pembukaan cawangan ini selain 60,000 pelanggan yang sedia ada di Kelantan. "Pihak kami turut menjangkakan perkembangan perniagaan di Kelantan akan semakin rancak berikutan jumlah pemilikan ladang serta pembukaan bandar-bandar baharu dengan lot kedai yang menyediakan pelbagai servis kepada para pelanggan," katanya. Sementara itu, Mohd Redza berkata Bank Muamalat mempunyai lima lagi cawangan di Kelantan iaitu tiga di Kota Baharu dan masing-masing satu di Jeli dan Tanah Merah. "Kami juga bercadang untuk membuka cawangan di beberapa jajahan lain pada masa akan datang bagi memudahkan pelanggan berurusan dengan pihak kami," katanya.