suria

KLM Tambah 3 Lagi Penerbangan Seminggu laluan KL-Amsterdam

SEPANG: KLM Royal Dutch Airlines menambah kekerapan penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur-Amsterdam daripada tujuh kali kepada 10 kali seminggu mulai hari ini, kata Pengurus Besar bagi Kawasan Tengah Asia Tenggara Air France-KLM, Gijs van Popta.

Beliau berkata penerbangan tambahan itu yang menggunakan Boeing 777-200 KLM yang baru diubah suai, berlepas dari Kuala Lumpur pada 8.45 pagi dan tiba di Amsterdam Airport Schiphol pada 3.30 petang hari yang sama.

"KLM menawarkan pengguna pilihan perkhidmatan dan peluang penyambungan yang lebih baik ke Eropah dan seterusnya, menerusi Amsterdam Airport Schiphol.

"Malaysia merupakan antara pasaran penting kami di Asia Tenggara.

Penerbangan tambahan itu menunjukkan dagangan antara kedua-dua negara semakin meningkat selain membuka peluang untuk meningkatkan lagi hubungan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penerbangan tambahan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd Datuk Badlisham Ghazali berkata penerbangan tambahan itu akan meningkatkan lagi aktiviti perjalanan dan pelancongan antara Malaysia dan Belanda.

Beliau berkata langkah oleh KLM itu jelas menunjukkan keyakinan syarikat penerbangan tersebut terhadap pertumbuhan jangka panjang laluan berkenaan, tahap perkhidmatan KLIA serta semua kemudahan yang ditawarkan oleh lapangan terbang berkenaan.

"Sebagai antara syarikat penerbangan paling lama terbang ke Kuala Lumpur, sejak kehadiran KLM di Lapangan Terbang Subang, saya yakin keputusan untuk menambah kekerapan penerbangan ini mengesahkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab serantau yang kukuh.

"Ia juga selari dengan hasrat kami untuk menjadikan KLIA sebagai hab pilihan," kata Badlisham.

KLM terbang dari Kuala Lumpur pada setiap Isnin, Jumaat dan Sabtu dan dari  Amsterdam Airport Schiphol pada Khamis, Jumaat dan Ahad.

KLM

Artikel Lain