KUALA LUMPUR: Sama ada secangkir kopi yang anda minum itu ada umph atau tidak, ia bergantung kepada sejauh mana kemahiran penyedia kopi atau yang dipanggil 'barista'. Mereka yang bergelar 'barista' ini bukan sahaja mesti suka minum kopi tetapi perlu cuba minum sebanyak mungkin jenis kopi. Dengan cara ini, beliau boleh membiasakan dirinya dengan pelbagai warna, rasa, tekstur serta bau yang dihasilkan secangkir kopi. Ini pandangan Ahmad Ghaasem Zadeh, penyelia kanan Artisan Coffee yang terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya. Menurut beliau barista baru memerlukan dua hingga tiga minggu untuk belajar seni membuat kopi yang istimewa. Di samping memeriksa suhu air yang betul serta kesegaran biji kopi, seorang barista juga perlu tahu cara yang betul untuk mengewapi susu. Beliau berkata antara pilihan popular seperti 'cappuccino', 'cafe latte', 'piccolo' dan 'flat white' memerlukan jumlah susu yang tepat. Juga penting untuk susu itu dibuihkan dengan betul. "Untuk membuat piccolo kita perlukan empat auns susu, untuk flat white enam auns dan untuk latte, lapan auns. Setiap satu memerlukan jumlah buih yang berbeza," kata Ahmad. KESEGARAN ITU YANG TERBAIK Menurut Ahmad kesegaran biji kopi akan menentukan kesedapan biji kopi yang dipanggang. Untuk tujuan itu, barista perlu melakukan ujian rasa biji kopi yang menyeluruh sebaik sahaja menerimanya daripada pembekal. Rasa kopi pernah digambarkan menggunakan istilah yang lazim dipakai dalam uji rasa wain seperti sitrus, bungaan serta berasid. Seperti wain, biji kopi paling baik disimpan dalam tempat yang sejuk dan gelap untuk mengekalkan rasa serta aromanya bagi tempoh yang panjang. Ia juga menjadikan selamat untuk memasak serta meminumnya walapun selepas berbulan-bulan biji kopi itu dipanggang. Mengimbangkan rasa kopi adalah penting. Secangkir kopi yang bagus mempunyai imbangan kemanisan yang asli serta kepahitan. Ahmad memberikan contoh iaitu secangkir espresso yang bagus adalah kombinasi peralatan yang digunakan untuk mengisar serta mencampur biji kopi yang dipanggang di samping kemahiran barista yang menyediakannya. "Untuk mendapatkan secangkir kopi yang bagus, semua faktor perlu diambil kira," tambahnya. PENGGUNAAN KOPI ASEAN. Rantau ASEAN dengan jumlah penduduk lebih 625 juta menyaksikan peningkatan dalam penggunaan kopi sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Victor Mah, Presiden Persekutuan Kopi ASEAN dan Persatuan Kopi Singapura berkata keseluruhan penggunaan kopi di rantau ini dijangka meningkat antara 10 dan 20 peratus setahun. Pertumbuhan ini diterajui kafe milik usahawan kecil dan kedai kopi tempatan seperti kopitiam. Separuh daripada penduduk ASEAN berusia antara 15 dan 60. "Daripada jumlah itu, hampir 70 peratus gemar minum kopi," tambah Mah. SUMBANGAN KEPADA EKONOMI Malaysia dan negara-negara jiran telah menyaksikan permintaan yang meningkat untuk pengeluaran biji kopi berkualiti tinggi sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Ini mungkin kerana kopi semakin dihargai dan bukan setakat komoditi. Budaya minum kopi dalam kalangan generasi muda serta profesional di negara ini telah melahirkan pelbagai konsep kedai kopi serta kafe di seluruh negara. Steven Tan, Pengurus Besar Cafe Malaysia Conference and Exhibition Management Services, berkata kedai kopi pakar hari ini membentuk tradisi sosial baru dan menukar cara orang minum kopi kegemaran mereka. "Kopi istimewa semakin menjadi kegemaran ramai di Malaysia, meskipun terdapat keperluan untuk mendidik mereka yang menjadi sasaran kami," katanya. Tan memberi contoh, penggunaan domestik dalam pasaran Indonesia untuk beberapa tahun lepas telah meningkat daripada 18,000 tan kepada 230,000 tan dengan bertambahnya golongan kelas pertengahan. Malaysia dan Thailand juga menunjukkan corak pertumbuhan yang sama dalam penggunaan dalam negeri.