suria

Bank Islam Biaya Dua Projek Tanah Wakaf

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd pada Isnin menandatangani perjanjian pembiayaan dua projek pembangunan tanah wakaf bersama syarikat pemaju, Urus Maju Ehsan (M) Sdn Bhd (UME) bernilai RM15.5 juta.

Usaha di atas tanah seluas 485.62 hektar di Selangor itu adalah pembiayaan pembangunan tanah wakaf pertama Bank Islam dan dijadual bermula tahun ini serta  siap dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.

Projek pertama merangkumi pembinaan 164 unit pangsapuri serta 12 unit lot kedai di atas sebidang tanah di Shah Alam dengan setiap unit berkeluasan 1,000 kaki persegi dan ditawarkan pada harga pajakan sekitar RM350,000.

Projek kedua melibatkan pembangunan 13 unit kedai pejabat dan 34 unit bazar di Klang.

Unit kedai pejabat seluas 3,024 hingga 3,780 kaki persegi itu ditawarkan  harga pajakan antara RM861,840 hingga RM1.1 juta manakala unit bazar seluas 888 kaki persegi pada harga pajakan RM250,000 seunit.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata usaha itu adalah yang pertama membabitkannya dengan pihak UME.

"Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini pada masa depan dengan terbabit membiayai sebahagian pembangunan tanah wakaf.

"Walaupun terlibat dalam projek lain, kami tetap memberi tumpuan terhadap projek perumahan. Malah ini adalah antara cara untuk memanfaatkan tanah selain menangani isu keperluan perumahan," katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif UME Mohd Azli Md Yusof.

UME adalah anak syarikat milik penuh Perbadanan Wakaf Selangor dan bertindak sebagai pemaju untuk perbadanan itu bagi merangka perancangan strategik serta  pembangunan di atas tanah wakaf negeri Selangor.

Mengulas lanjut, Khairul berkata Bank Islam turut menyediakan pembiayaan projek serta pembiayaan akhir untuk pembelian unit-unit pangsapuri, rumah kedai dan kedai pejabat yang ditawarkan menerusi produk "Al-Waqf Home Financing-i.

"Ia adalah antara inisiatif Bank Islam bagi menyumbang kepada perkembangan industri wakaf di Malaysia selain meningkatkan pegangan aset umat Islam, katanya.

Sementara itu, Mohd Azli berkata dua projek yang ditandatangani itu juga yang pertama untuk syarikat berkenaan selain terbabit dalam tiga projek sedia ada merangkumi perumahan, pertanian dan pendidikan.

"Kesemua projek tiga fasa itu dijangka siap dalam masa lima hingga enam tahun dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM300 juta," katanya.

Bank Islam

Artikel Lain