suria

Ambank Tawar Unit ASB Seawal September Ini

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir

KUALA LUMPUR: AmBank Group akan mula menawarkan unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) seawal September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata ini berikutan pihaknya sudah memuktamadkan perbincangan dengan Permodalan Nasional Bhd.

"Ideanya adalah untuk menawarkan unit itu sepenuhnya.

"Kami kini memberi tumpuan kepada aspek sistem serta pemprosesan dan berharap dapat melancarkannya dalam masa sebulan atau dua bulan ini," katanya kepada wartawan pada majlis pelancaran AmBank (M) Bhd sebagai pengedar sah Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di sini, Selasa.

Sulaiman berkata, menerusi dua tawaran tambahan itu, para pelabur kini mempunyai pilihan lebih banyak untuk berurusan dengan AmBank selain berpeluang mempelbagaikan pelaburan mereka.

Mengulas AHB, beliau berkata AmBank memperuntukkan sebanyak 200 juta unit berharga RM1 setiap satu.

Beliau yakin kesemua unit AHB itu akan habis dilanggan dalam masa dua bulan.

Penganjur dana itu adalah Pelaburan Hartanah Bumiputera (PHB) dan diuruskan oleh Maybank Asset Management.

Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PHB Datuk Kamalul Arifin Othman berkata sejumlah 1.5 bilion unit baharu disuntik ke dalam dana itu pada awal tahun ini, sekaligus melonjakkan jumlah keseluruhannya kepada 3.5 bilion unit sejak dilancarkan pada 2010.

"Sejajar penglibatan Maybank dan Ambank yang berganding bahu sebagai pengedar, kami yakin ia akan mendapat langganan penuh menjelang akhir tahun.

"Biarpun kami telah menyuntik 1.5 bilion unit baharu, namun hanya tinggal 400 juta unit di pasaran ketika ini," katanya.

Kamalul berkata, ciri-ciri dana itu terus menarik minat pelabur kerana disokong oleh hartanah komersial utama, patuh Syariah serta sentiasa memberi dividen kukuh dan konsisten.

AHB mempunyai 16 hartanah di bawah portfolionya termasuk Jaya33, Nu Sentral, 1Sentrum dan Gleneagles. 

Ambank

Artikel Lain