suria

Nippon Paint Gondol Satu Lagi Anugerah Industri

Yaw Seng Heng bersama maskot Nippon Paint

KUALA LUMPUR: Nippon Paint Malaysia Group (Nippon Paint) meraikan kejayaannya menggondol kemenangan industri ketiga tahun ini apabila diumum sebagai penerima Anugerah Perak bagi kategori Home Improvement dalam Anugerah Jenama Putra 2016 di sini baru-baru ini.

Pengarah urusan kumpulannya, Yaw Seng Heng berkata tiga kemenangan yang diraih Nippon Paint itu membuktikan syarikat itu mendapat kepercayaan serta pengiktirafan tinggi dan sekali gus mendorongnya untuk berusaha dengan lebih gigih meningkatkan lagi kecemerlangannya.

"Sesungguhnya, ia merupakan suatu pengiktirafan tinggi terhadap pasukan kami yang sentiasa berdedikasi dan memberi fokus terhadap dua bidang utama, (iaitu) inovasi dan pelanggan kami.

"Ringkasnya, dalam menghayati mantra kami sebagai 'Pakar Penyalutan', kami akan terus memberi tumpuan padu terhadap aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta memperkenalkan salutan inovatif baharu dalam kategori fungsian dan estetik untuk memenuhi keperluan pelanggan kami," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu. 

Awal tahun ini, Nippon Paint memenangi Anugerah Platinum, pengiktirafan tertinggi bagi kategori Cat dalam Readers Digest Trusted Brands Award Malaysia 2016, yang menandai tahun ke-11nya memenangi anugerah berkenaan sejak 2006. 

Nippon Paint juga dinobatkan sebagai 'Paint Company of the Year 2016' dan pemenang Anugerah Kepimpinan Inovasi Produk Baharu 2016 oleh Frost  and  Sullivan, sebagai pengiktirafan terhadap usahanya untuk terus melakar kemajuan berkaitan warna dan inovasi produk.-- Bernama

Artikel Lain