KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia, mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi pada RM253.81 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2016 daripada RM48.76 juta pada suku yang sama tahun lepas. Perolehan berjumlah RM1.62 bilion atau 23 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dan kos bahan api yang lebih rendah. "Perolehan yang kukuh disokong oleh pertumbuhan 10 peratus dalam jumlah penumpang, manakala tambang purata naik 8.0 peratus pada RM153 berbanding RM141 pada suku yang sama tahun lepas," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa. AirAsia berkata pertumbuhan keuntungan bersih disumbangkan oleh pertumbuhan perolehan semasa suku berkenaan sebanyak 23 peratus, terutamanya disebabkan oleh kenaikan dalam pendapatan operasi pajakan dan 24 peratus pengurangan dalam harga bahan api purata daripada US$78 setong pada suku kedua 2015 kepada US$59 setong pada suku kedua pada 2016. Ketua Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes berkata: "Di Malaysia, permintaan kekal kukuh dan kami menjangka ini akan bertambah baik pada suku-suku akan datang setelah sentimen pengguna semakin meningkat dalam ekonomi domestik. "Penumpang dari India memasuki Malaysia berkembang 34 peratus berbanding tahun ke tahun dan ini menunjukkkan jenama kami mengukuh di pasaran India setelah kami menambah penerbangan domestik dan antarabangsa di sana," katanya dalam satu kenyataan. Pasaran India serta China dan Asean akan menjadi penting kepada pertumbuhan AirAsia memandangkan ia merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang menghubungkan China ke Asean ke India melalui rangkaiannya yang kukuh.