KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) naik sebanyak 4.9 peratus dari tahun ke tahun pada bulan Ogos tahun ini, dipacu oleh pertumbuhan yang positif dalam Indeks Pembuatan, Perlombongan dan Elektrik. Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu, berkata output sektor pembuatan berkembang sebanyak 4.6 peratus dalam Ogos, berbanding peningkatan sebanyak 3.3 peratus pada Julai 2016. "Subsektor utama yang merekodkan pertumbuhan pada Ogos adalah produk elektrik serta elektronik (7.9 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (4.5 peratus), serta produk mineral bukan metalik, logam asas dan produk logam yang direka (4.6 peratus)," katanya. Menurut jabatan itu, output sektor perlombongan juga mencatatkan lonjakan sebanyak 4.3 peratus dalam Ogos selepas naik sebanyak 6.1 peratus dalam bulan sebelumnya. "Peningkatan dalam bulan Ogos ini disokong oleh pertumbuhan dalam Indeks Minyak Mentah dan Gas Asli, masing-masing sebanyak 6.5 peratus dan 1.5 peratus," katanya. Output sektor elektrik menokok dengan ketara sebanyak 11.4 peratus pada Ogos, berikutan kenaikan sebanyak 7.1 peratus yang direkodkan pada bulan Julai. - BERNAMA