suria

Mazda Motor Indonesia Tutup Operasi Bulan Depan

JAKARTA: Syarikat pengedar kenderaan jenama Mazda di Indonesia, PT Mazda Motor Indonesia (MMI), akan menutup operasinya di negara itu bulan depan.

Dalam kenyataan syarikat yang disiarkan oleh media di sini memetik Presiden Direktur MMI Keizo Okue sebagai berkata syarikat itu mengambil keputusan untuk menutup operasi ekoran pasaran kenderaan di Indonesia semakin rancak dan memerlukan perubahan pengurusan secara drastik bagi menampung permintaan.

Katanya syarikat itu telah menandatangi perjanjian untuk menyerahkan pengedaran Mazda di Indonesia kepada syarikat Eurokars Group yang beribu pejabat di Singapura.

Beliau berkata dengan penutupan MMI itu, kesemua 45 wakil jualannya akan berpindah milik kepada PT Eurokars Motor Indonesia mulai Februari 2017 manakala semua pekerjanya diserapkan di bawah syarikat berkenaan. 

"Eurokars juga bertanggung jawab atas perkhidmatan dan jaminan bagi semua unit Mazda yang dijual sebelum proses peralihan dari PT MMI," katanya.

Eurokars juga ialah pengedar kenderaan premium, termasuk kenderaan Porsche, Rolls-Royce, Maserati dan BMW.

Pada April lepas, Ford Indonesia mengumumkan penutupan operasi setelah pasaran kenderaan itu dikatakan tidak memberangsakan manakala General Motors (GM) pula menutup operasi pengeluaran kenderaan Chevrolet Spin di Indonesia sejak Jun 2015.

Pada Februari lepas, syarikat pengedar motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson di Indonesia, PT Mabua Motor, turut mengumumkan penutupan operasi pengedarannya ekoran pasaran yang dingin di Indonesia.-- Bernama

Mazda, Indonesia

Artikel Lain