suria

Dagangan Dua Hala Malaysia-Afrika Dijangka Berkembang 10-15 Peratus - Mustapa

KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala antara Malaysia dan benua Afrika diunjur berkembang antara 10-15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ini memandangkan potensi pasarannya yang amat besar, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau juga berkata perdagangan Malaysia dengan negara-negara Afrika berkembang pada kadar purata tahunan 10 peratus dalam dekad lepas, dengan RM12 bilion dijangkakan pada 2006 dan diunjur meningkat kepada RM30 bilion pada 2015.

Mustapa berkata pertumbuhan itu disumbang oleh rakan dagangan utama Malaysia seperti Afrika Selatan, Mesir, Nigeria dan Angola.

"Afrika memiliki penduduk seramai 1.3 bilion orang, sama besar seperti China, dan semakin meningkat. Justeru, kami percaya kini adalah masa terbaik bagi pelabur Malaysia untuk meneroka ke rantau ini. 

"Syarikat tempatan digesa memanfaatkan peluang di sana kerana ia juga merupakan pasaran utama bagi syarikat kita dalam tempoh jangka panjang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Hari Perniagaan Afrika selama dua hari, di sini, Isnin. 

Objektif acara tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang perniagaan di Malaysia dan Afrika, serta mempromosikan import dan eksport kedua-dua negara. 

Perdagangan Malaysia dengan benua Afrika dari Januari hingga Ogos tahun ini bernilai RM17.10 bilion, berbanding RM19.03 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

Eksport utama Malaysia ke Afrika pada 2015 ialah petroleum, kimia dan produk berasaskan minyak sawit, makanan diproses dan mesin, perkakas dan bahagian-bahagian. 

Sementara itu, antara import utama Malaysia ialah gas asli cecair, produk petroleum, petroleum mentah, bijih logam dan besi buruk. 

Mustapa berkata kerajaan menerusi Miti dan agensi-agensinya berusaha untuk meningkatkan lagi perdagangan dua hala dengan negara-negara Afrika. 

Tahun ini, lebih lapan program promosi perdagangan yang menumpukan kepada Afrika, iaitu Misi Meningkatkan Eksport, program pembangunan kapasiti dan rundingan perdagangan telah dirangka. 

Secara terkumpul, pelaburan Malaysia di Afrika berjumlah AS$13.34 bilion dalam pelbagai sektor, termasuk pembinaan, minyak dan gas, penjanaan kuasa, ICT, pendidikan, pembuatan, perbankan, perlombongan dan logistik.

Pelaburan dari Afrika ke Malaysia kebanyakannya dari tiga negara iaitu Afrika Selatan, Mauritius dan Mesir.

Afrika Selatan adalah pelabur terbesar dari benua tersebut dengan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak AS$91.05 juta dari 2006 2010, Mauritius (AS$21.3 juta) dan Mesir (AS$7.03 juta). -- Bernama

Mustapa Mohamed, Afrika, Miti

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan