KUALA LUMPUR: Sogo (KL) Department Store Sdn Bhd menjangkakan pusat membeli belahnya, KL Sogo, akan mencatatkan jualan sebanyak RM600 juta tahun ini, sama seperti tahun sebelumnya. Timbalan Pengerusi Kumpulan Sogo Datuk Andrew Lim Tatt Keong, berkata kebanyakan pelanggan sekarang ini sudah terbiasa dengan cukai barang dan perkhidmatan serta pelbagai isu lain. "Kami menyaksikan sedikit kenaikan dalam sentimen pengguna. Jualan Deepavali kami juga ternyata agak baik," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian antara RHB Bank Bhd dan Sogo berhubung dengan rantaian bekalan kewangan RHB (RHB FSC) di sini pada Rabu. Di bawah inisiatif RHB FSC, Sogo bekerjasama dengan RHB untuk menyediakan platform dalam talian yang mudah bagi penyelesaian pembiayaan dan pembayaran. Pengerusi Kumpulan Sogo, Datuk Mohamed Khadar Merican, berkata kemudahan ini akan membantu lebih 1,000 pembekal Sogo dalam menguruskan aliran tunai mereka termasuk harga stok yang lebih berpatutan. "Kira-kira 80 peratus pembekal kami akan menggunakan kemudahan ini. Ia mampu menjana RM500 juta nilai perniagaan dalam tahun operasi. "RHB FSC tidak akan menjejaskan pendapatan kami dalam jangka pendek tetapi pada jangka panjang (hasil akan menjadi lebih tinggi)," katanya. Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata kemudahan RHB FSC, bermula pada RM10 juta, akan membolehkan pembekal untuk mengukuhkan susunan rantaian bekalan dari hujung ke hujung. Katanya, RHB Bank akan menyediakan pembiayaan kepada pembekal-pembekal Sogo, membenarkan mereka akses kepada bayaran yang dipercepatkan tanpa perlu sebarang cagaran. Kemudahan tersebut akan membolehkan pembekal dibayar segera. Dengan membuka nilai daripada penghutang, pembekal akan dapat memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti strategik untuk memperbaiki keuntungan mereka. - BERNAMA