suria

Pendapatan Pengusaha Inap Desa Meningkat Lebih RM17 Juta

MELAKA: Pendapatan pengusaha perkhidmatan inap desa meningkat 9.5 peratus kepada lebih RM17 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata jumlah pendapatan berkenaan melibatkan 3,800 pengusaha inap desa berdaftar seluruh negara yang menyediakan 5,354 bilik, dengan Pahang mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi RM7.3 juta dengan jumlah kedatangan 87,580 pelancong domestik dan asing.

Katanya ini diikuti Sarawak dengan pendapatan RM2 juta dengan jumlah pelancong seramai 14,914; dan Sabah dengan pendapatan RM1.6 juta melibatkan pelancong seramai 14,617.

"Sehingga Oktober tahun ini, kementerian telah mendaftarkan sebanyak 193 inap desa seluruh negara melibatkan 341 buah kampung, program yang mendapat pengiktirafan yang tinggi dalam industri pelancongan dunia.

"Pada tahun 2012, program ini telah dianugerahkan Ulysses Award in Public Policy and Governance oleh Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Istanbul, Turki," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Citarasa Homestay Malaysia 2016 di sini Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata karnival itu bertujuan memperomosikan pakej inap desa, produk industri kecil dan sederhana inap desa serta mengetengahkan aktiviti menarik yang ditawarkan pengusaha industri berkenaan untuk pelancong atau pengunjung.

Karnival selama tiga hari itu bermula semalam di Jalan Kota Banda Hilir di sini disertai 180 pengusaha inap desa dari 14 negeri di seluruh negara. 

Pelbagai pameran dan jualan makanan serta barangan yang menjadi ikon negeri yang terlibat serta persembahan kebudayaan dan permainan tradisional diadakan. - BERNAMA

Inap Desa, Mas Ermieyati

Artikel Lain