SEPANG: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB), pengendali Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata, syarikat penerbangan AirAsia hanya boleh memindahkan sebahagian daripada operasinya ke KLIA jika berhasrat untuk berbuat demikian. Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, AirAsia tidak boleh memindahkan keseluruhan operasinya ke KLIA atas faktor kapasiti terminal berkenaan. Menurutnya, AirAsia kini memiliki operasi yang besar, iaitu 80 kapal terbang dengan menerbangkan 28 juta penumpang setahun. "Jadi untuk memindahkan semuanya, saya hanya jawab tidak boleh...namun kita akan mempertimbangkan permintaan sekiranya mereka mahu memindahkan sebahagian operasi mereka ke KLIA," katanya kepada media selepas Persidangan Tahunan Konsesi Ketujuh dianjurkan MAHB di sini, Khamis. Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dilaporkan berhasrat memindahkan keseluruhan operasinya dari klia2 ke KLIA susulan pengumuman kadar baharu caj perkhidmatan penumpang (PSC) berkuat kuasa 1 Januari 2017. Badlisham berkata, permintaan AirAsia untuk memindahkan operasi ke KLIA sudah dikemukakan kepada pihaknya dan MAHB sedang mempertimbangkannya, namun ia terhad kepada ketersediaan dan keupayaan terminal itu. Ketika ini, kira-kira 60 syarikat penerbangan beroperasi dari terminal KLIA dan 10 syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). "Ketika waktu puncak pada pukul 6 pagi hingga 10 pagi kami mengendalikan purata 115 penerbangan yang berlepas dan mendarat di KLIA dan kapasiti KLIA pada waktu puncak hampir penuh," katanya. Badlisham berkata, MAHB mungkin boleh menawarkan AirAsia untuk beroperasi ketika waktu bukan puncak dan kekosongan beberapa slot pada waktu puncak. Mengenai hasrat Malaysia Airlines untuk beroperasi di klia2, Badlisham berkata, MAHB akan mengadakan perjumpaan dengan syarikat penerbangan itu pada 24 November ini berkaitan perkara itu. "Malaysia Airlines juga telah mengadakan lawatan ke klia2 dan melihat sendiri kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di sana," katanya.