suria

BSN Sasar Agih Pinjaman RM6 Bilion Skim Perumahan Belia

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasar untuk mengagihkan pinjaman sekurang-kurangnya RM6 bilion bagi Skim Perumahan Belia menjelang Julai tahun depan.

Skim yang dilancarkan pada Julai 2015 itu bertujuan untuk membantu pasangan muda yang berkahwin berumur antara 25 hingga 40 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan untuk memiliki rumah pertama.

Timbalan Ketua Eksekutif Frederick Siew berkata skim itu telah mendapat 4,000 permohonan pinjaman bernilai hampir RM1 bilion, sehingga Oktober tahun ini dengan kadar kelulusan sebanyak 50 peratus.

"Kita telah meluluskan 2,000 permohonan berjumlah RM500 juta. Sehingga kini, kami mengagihkan RM200 juta memandangkan projek mempunyai pelbagai peringkat penyiapan," katanya kepada pemberita selepas pengumuman mengenai kerjasama dengan pemaju hartanah, Oriental Interest Bhd (OIB), di sini, Selasa.

Kerjasama berkenaan adalah bagi projek Fasa 2 Seroja Hills Condominium OIB di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Projek dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM84 juta itu mempunyai 256 unit kondominium, dengan setiap unit yang menawarkan kawasan binaan seluas 1,096 kaki persegi dan berharga dari RM320,000.

Projek ini dijangka siap pada pertengahan 2019.

Siew berkata BSN juga kini meninjau untuk mengadakan kerjasama dengan lebih banyak pemaju hartanah untuk mempromosikan Skim Perumahan Belia ini bagi pasangan muda yang berkahwin untuk memiliki rumah.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Pengedaran BSN Akhsan Zaini berkata bank kini menimbang untuk melanjutkan Skim Perumahan Belia itu apabila tamat program dua tahun.

"Apabila tamat, kita akan bincang dengan kerajaan untuk melanjutkannya. Skim Perumahan Belia ini adalah inisiatif kerajaan," katanya.-- Bernama


BSN, Skim Perumahan Belia

Artikel Lain