suria

MPOB Menang Pingat Emas, Perak Dan Gangsa Pada I-Inova

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memenangi masing-masing satu pingat emas dan perak serta dua pingat gangsa bagi teknologi berkaitan minyak sawit pada Ekspo Inovasi Islam 2016 (i-Inova) kali ketujuh baru-baru ini.

Ekspo itu berlangsung pada 8 November, 2016.

Sehingga kini, MPOB telah membangunkan lebih 600 teknologi berkaitan  industri kelapa sawit untuk diterima pakai dan pengkomersialan oleh peserta industri dan usahawan.

Mengulas anugerah terbaru MPOB itu, Ketua Pengarahnya Dr Ahmad Kushairi Din berkata MPOB bangga terhadap pencapaian para pegawai penyelidikannya serta sumbangan semua petugas ke arah meningkatkan dan memperkukuhkan industri kelapa sawit Malaysia.

"Inovasi dan penemuan teknologi baharu merupakan langkah ke hadapan untuk industri kelapa sawit negara.

"Menerusi pendekatan seperti ini, kita dapat meningkatkan lagi industri ini ke tahap yang lebih tinggi," katanya menerusi satu kenyataan.

Pegawai Penyelidik MPOB, Nahrul Hayawin, memenangi pingat emas atas inovasi beliau dalam pengeluaran arang berasaskan biojisim kelapa sawit menggunakan teknologi gelombang mikro.

Dr Shamala Sundram pula membawa pulang pingat perak atas teknologi yang dihasilknya bagi melindungi sistem akar sawit daripada diserang penyakit  Ganoderma menggunakan pengasingan endofitik Trichoderma.

Dua penyelidik lain, Zuliana Yusof dan Mohd Najib Ahmad, masing-masing memenangi pingat gangsa atas inovasi dalam sektor kelapa sawit.

Zuliana memenangi pingat gangsa i-Inova atas penyelidikan pada ekstrak daun sawit sebagai bahan aktif dalam aplikasi topikal, manakala Mohd Najib ke atas evolusi teknik pheromone untuk mengawal ulat kelongsong.

i-Inova, yang bermula pada 2010, merupakan pameran dan pertandingan untuk memperkenalkan produk inovatif oleh institusi pengajian tinggi dan institusi penyelidikan dalam dan luar negara.-- Bernama

MPOB, i-Inova

Artikel Berikut

Artikel Lain