suria

MAH Terengganu Sasar Lima Juta Pelancong

KUALA TERENGGANU: Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Terengganu (MAH) menyasarkan lebih lima juta pelancong akan berkunjung ke negeri ini sepanjang Tahun Melawat Terengganu (TMT) yang akan berlangsung tahun depan.

Pengerusinya Rosly Selemin berkata kini pelbagai usaha dilakukan para pengusaha hotel bagi mencapai sasaran itu termasuk mempromosikan makanan tradisional Terengganu serta lokasi yang menarik di seluruh negeri itu.

Selain itu, katanya terdapat juga pengusaha hotel memberikan potongan harga penginapan bermula 20 hingga 50 peratus.

"Sebanyak 14 hotel di bawah MAH di Terengganu menawarkan pakej penginapan dengan harga berpatutan mengikut kategori bintang hotel tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam MAH, di sini, semalam.

Menurutnya MAH juga turut merancakkan promosi TMT 2017 menerusi Pesona Terengganu di Johor Bharu, Johor; Singapura dan London, United Kingdom yang dianjurkan oleh kerajaan negeri sepanjang tahun ini.

"Kita menyokong setiap program yang dianjurkan kerajaan negeri dan kita turut mendapat kerjasama daripada ejen pelancongan yang sama-sama membantu mempromosikan TMT.

"Seperti di London kita memperkenalkan nasi dagang, dalam masa yang sama kita turut mempromosikan tempat-tempat menarik yang terdapat di negeri ini," katanya. - BERNAMA

MAH Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain