suria

AirAsia Rangkul Dua Anugerah

KUALA LUMPUR: AirAsia dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi kali keempat berturut-turut dan menerima anugerah sulungnya sebagai Perkhidmatan Dalam Penerbangan Terbaik Dunia pada majlis World Travel Awards (WTA) Grand Final ke-23 yang diadakan di Male, Maldives.

Syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia itu mengatasi pesaingnya dari lima benua termasuk Ryanair, easyJet, Jetstar Airways, Southwest Airlines, JetBlue Airways, Norwegian, Kulula, Mango, fastjet, flydubai, Air Arabia, flynas and West Air bagi meraih anugerah tersebut.

"Kami amat gembira memenangi anugerah syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia bagi empat tahun berturut-turut. Ia adalah satu penghormatan besar untuk melengkapi tahun cemerlang bagi AirAsia, bukan hanya dari segi kewangan tetapi juga pengiktirafan daripada industri," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes, Sabtu.

AirAsia juga memenangi anugerah Perkhidmatan Dalam Penerbangan Terbaik Dunia buat pertama kalinya, menewaskan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh seperti Etihad Airways, Japan Airlines, Singapore Airlines, Thai Airways, Qantas Airways, Lufthansa, American Airlines dan Air Canada.

Kemenangan itu adalah susulan kejayaannya pada awal tahun ini meraih anugerah Perkhidmatan Dalam Penerbangan Terbaik Asia daripada WTA buat julung-julung kalinya.

"Saya juga amat berbangga dengan anugerah perkhidmatan dalam penerbangan terbaik dunia yang diraih kami buat pertama kalinya. Saya sering mengatakan bahawa kami memiliki anak kapal yang hebat dan produk dalam penerbangan yang terbaik, dan kami membuktikannya dengan menewaskan bukan satu, bukan dua, bukan tiga, tapi lapan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh bagi merangkul anugerah ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata banyak lagi yang akan ditawarkan AirAsia kerana syarikat penerbangan itu sentiasa berusaha mencipta inovasi dan bukan hanya bagi perkhidmatan dalam penerbangan.

"Buat masa ini, kami sedang mencari cara untuk meningkatkan lagi keselesaan pelanggan di lapangan terbang. Satu perkara yang kami sasarkan adalah untuk mempercepatkan proses bagi pelanggan yang berkongsi profil perjalanan mereka dengan pihak berkuasa imigresen. Kami menjangka menjalankan ujian percubaan di lapangan terbang terpilih di ASEAN tidak lama lagi," katanya.

AirAsia, yang memiliki rangkaian menyeluruh di lebih 120 destinasi di Asia, Australia dan New Zealand, Timur Tengah dan Afrika juga pada Julai tahun ini dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi lapan tahun berturut-turut pada anugerah Skytrax World Airline Awards 2016.

Anugerah WTA itu mengiktiraf, memberi ganjaran dan meraikan kecemerlangan dalam semua sektor industri perjalanan dan pelancongan dan dipilih oleh beribu-ribu profesional dan pengguna pelancongan mewah seluruh dunia. 

-- BERNAMA
SM SM THS ZK 03/12/2016 12-55ST
AirAsia

Artikel Sebelum

Artikel Lain