KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang (SBK), bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan muda tetapi juga menghasilkan sepasukan kontraktor muda. Menurut Pengarah Komunikasi Strategik dan Hubungan Pihak Berkepentingan MRT Datuk Najmuddin Abdullah, menerusi Program Usahawan Muda MRT (MYEP) yang dilancarkan pada 2013, sebanyak 14 graduan muda berjaya dilatih sebagai kontraktor dan memperoleh beberapa pakej kerja di bawah Laluan MRT SBK. Mereka dianugerahkan pakej kontrak melibatkan kerja-kerja mengecat dan hiasan; saliran air; pembinaan melibatkan pagar, pintu pagar dan jalan; landskap dan perumputan, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual bersama Bernama baru-baru ini. MYEP merupakan program kerjasama antara MRT Corp, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk menjadikan graduan Bumiputera muda yang tidak bekerja sebagai kontraktor berjaya. Peserta terpilih perlu menjalani latihan intensif dan praktikal selama setahun yang mana mereka akan memperoleh kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menjadi usahawan dalam industri pembinaan. Najmuddin berkata objektif program itu adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan berpotensi yang mempunyai latar belakang teknikal dalam usaha niaga berkaitan teknikal, meskipun diberi peluang untuk menceburi industri pembinaan. "Ini adalah projek mega, jadi apabila mereka (kontraktor muda) terlibat, mereka menimba pengalaman dan pengetahuan, sekali gus meningkatkan diri mereka sebagai kontraktor mahir pada masa depan," katanya. Fasa pertama MRT Laluan 1 SBK dari Sungai Buloh ke Semantan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Disember ini dan dibuka kepada orang ramai pada 16 Disember.