KUALA LUMPUR: Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China pada November lepas ternyata memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan apabila pihak SME Corporation Malaysia (SMECorp) menerima pertanyaan beberapa syarikat China yang berminat menjalinkan kerjasama. Ketua Pegawai Eksekutif SMECorp, Datuk Hafsah Hashim berkata setakat ini pertanyaan itu membabitkan syarikat China dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain berunsurkan perkhidmatan. Syarikat-syarikat itu juga antara yang terbabit dalam 14 memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani di antara China dan Malaysia pada November tahun lepas. "Mereka (pengusaha syarikat China) telah menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan PKS-PKS tempatan bagi mendapatkan pembekal serta perniagaan dan pelaburan yang bakal dibawa masuk ke sini. "Saya rasa impaknya (hasil kunjungan Perdana Menteri ke China) adalah positif yang bakal menguntungkan PKS-PKS tempatan," katanya kepada Bernama, Isnin. Mengulas lanjut, Hafsah berkata menerusi kemasukan pelabur-pelabur China itu, kalangan PKS akan mendapat sedikit pendedahan mengenai corak perniagaan global. "Saya melihatnya sebagai satu perkembangan positif yang mana PKS-PKS ini akan membantu dari segi memberi akses kepada pasaran-pasaran tempatan untuk syarikat China itu kelak," katanya. Pada 1 November, 2016, Malaysia dan China telah menandatangani sejumlah 14 MoU berkaitan pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan sektor pembinaan yang turut disaksikan oleh Najib dan rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang. Antara syarikat tempatan yang terlibat dalam MoU tersebut adalah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan bertanggungjawab bagi pembangunan Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER) yang menjalin kerjasama dengan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang.