suria

Sistem Perbankan Domestik Kekal Kukuh - BNM

KUALA LUMPUR: Sistem perbankan domestik kekal kukuh, dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi untuk pembiayaan perniagaan dan isi rumah, kata Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis.

BNM berkata dengan pelarasan berterusan oleh perniagaan dan isi rumah terhadap prospek ekonomi yang mencabar dan kos sara hidup yang semakin meningkat, penampan kewangan ini akan menyokong daya tahan institusi kewangan.

"Untuk masa kehadapan, perkembangan luaran akan terus menambah tekanan terhadap turun naik pesaran kewangan domestik.

"Ini termasuk meningkatnya ketidaktentuan dalam perkembangan politik dan pertumbuhan dalam ekonomi utama, selain harga komoditi yang tidak menentu," kata BNM dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Bernama.

Bank pusat itu berkata kestabilan sistem kewangan domestik terus terpelihara memandangkan institusi kewangan mempunyai kapasiti menyerap kerugian menerusi sokongan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh.

Penampan modal bank, syarikat insurans dan pengendai takaful secara gabungan berjumlah RM172.5 bilion. Bank juga mengekalkan paras dan kualiti permodalan yang tinggi.

Ini ditunjukkan dalam nisbah modal ekuiti biasa Kumpulan 1, nisbah modal kumpulan 1 dan jumlah modal institusi perbankan yang tinggi, masing-masing pada  13.1 peratus, 14.0 peratus dan 16.5 peratus (3Q 2016: 13.3 peratus, 14.2 peratus dan 16.7 peratus).

Nisbah kecukupan modal sektor insurans dan takaful pula kekal tinggi pada 243.8 peratus berbanding 226.3 peratus pada suku ketiga.

Bank Negara Malaysia, BNM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain