suria

Johor Port, PT Pelabuhan Indonesia IV Meterai MoU Bagi Beberapa Kerjasama

Che Khalib Mohamad Noh

KUALA LUMPUR: Johor Port Bhd, ahli MMC Group, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PT Pelabuhan Indonesia IV (Pelindo IV) yang akan melibatkan beberapa kerjasama termasuk program kerjasama  pelabuhan.

Selain itu, MoU itu juga akan membuka laluan kepada Johor Port untuk berkongsi pengalaman dan kepakarannya dengan Pelindo IV dalam bidang perkhidmatan latihan pelabuhan, rundingan mengenai kontena dan operasi konvensional dan kerjasama mengenai perkhidmatan logistik antara pelabuhan.

"Pengendali ini (Pelindo IV dan MMC Ports) mempunyai pelbagai kepakaran dalam pengurusan pelabuhan dan kerjasama ini bertindak sebagai pemangkin yang akan merangsang pembangunan dan kualiti operasi pelabuhan serta kecekapan bersama penggiat antarabangsa lain," kata Pengerusi Johor Port Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Pengarah Urusan Pelindo IV Doso Agung dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Shahrull Allam Shah Bin Abdul Halim menandatangani MoU itu di Universitas Pattimura di Ambon, Indonesia, baru-baru ini.

Pemeteraian itu mengukuhkan lagi kerjasama antara Pelindo IV dan MMC Ports yang bukan sahaja meliputi penyediaan perkhidmatan latihan pelabuhan, tetapi turut merangkumi kerjasama bagi perkhidmatan logistik antara pelabuhan dan inisiatif kerjasama lain di bawah program kerjasama itu.

Di bawah perkhidmatan latihan pelabuhan, antara program pembangunan kecekapan, seperti dipersetujui antara kedua-dua syarikat, adalah termasuk latihan bagi kontena dan operasi terminal konvensional, operasi kren dan trak angkat susun; dan pengendalian peralatan terminal lain, katanya dalam kenyataan.

Semua latihan akan dikendalikan oleh Johor Port Skill Centre (JPSC) milik Johor Port, penyedia latihan diluluskan Dana Pembangunan Sumber Manusia yang kini menyediakan latihan kepada pelabuhan utama tempatan.

JPSC turut bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Unit Perancang Ekonomi Johor untuk memberi latihan teknikal dan operasi pelabuhan kepada lepasan sekolah, katanya. 

Di bawah program kerjasama itu, Johor Port Bhd dan MMC Ports juga akan membangunkan aktiviti pemasaran bersama dengan pelabuhan Pelindo IV untuk meningkatkan lagi perkhidmatan pengantara kepada Wilayah Indonesia Timur. 

Aktiviti pemasaran ini akan menggalakkan perdagangan komoditi dan aktiviti pengukuhan kargo di Johor, katanya.-- Bernama


Che Khalib, Johor Port, Pelindo

Artikel Sebelum

Artikel Lain