suria

Kekangan Pinjaman Antara Faktor Bantut Perkembangan Ekonomi Bumiputera

Datuk Syed Ali Alattas

KUALA LUMPUR: Kekangan untuk mendapatkan pinjaman yang mencukupi daripada institusi kewangan, antara faktor utama masyarakat Bumiputera, khususnya usahawan sukar mengembangkan ekonomi mereka.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Dr Syed Ali Alattas berkata, keadaaan ini menyebabkan ekonomi Bumiputera kekal di tahap lama di mana DPMM mendapati hanya lima peratus masyarakat Bumiputera tergolong dalam kelompok berpendapatan tinggi di Malaysia.

Selain itu, kekurangan penyediaan rumah mampu milik untuk Bumiputera turut memberi kesan kepada golongan ini dalam merancang masa depan mereka.

"Berikutan itu, jurang pencapaian ekonomi antara usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera dilihat semakin lebar, katanya kepada wartawan pada Seminar Ekonomi Melayu 2017 bertema Menyusun Semula Pengurusan Ekonomi dan Kewangan Melayu di sini, Khamis.

Syed Ali turut bimbang dengan sikap sesetengah pemaju perumahan dan bangunan komersial yang membina projek berharga tinggi dan menyasarkan jualan kepada warga asing untuk mengaut untung lebih tinggi.

Dalam jangka masa pajang, katanya, ia akan menjejaskan pegangan ekonomi bukan sahaja usahawan Bumiputera, malah keseluruhan usahawan tempatan.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Syed Ali mencadangkan agar bank di negara ini bergabung untuk mewujudkan sebuah institusi pinjaman untuk usahawan dan Bumiputera mendapatkan modal bagi memulakan perniagaan atau memiliki rumah.

"Sekiranya terdapat peminjam yang gagal melunaskan pinjaman, jumlah kerugian akan ditanggung bersama oleh bank ini di mana beban mereka tidak terlalu berat, katanya.

Pada majlis yang sama, DPMM menandatangani memorandum penubuhan Institut Kepimpinan Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM.

Institut tersebut bertujuan untuk membina satu generasi baharu kepemimpinan yang dinamik dan berakhlak untuk memperkasa peranan DPMM dan persatuan peniagaan Melayu yang lain.

Institut ini akan memenuhi hasrat dan harapan usahawan Melayu, terutama dalm sektor kecil dan sederhana yang masih tertinggal jauh, yang memerlukan pimpinan dan panduan untuk berkembang.

Artikel Lain