suria

TM Akan Lancar Pakej Mudah Alih Untuk PKS Pada April

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka melancarkan pakej penyelesaian mudah alih untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi penyedia perkhidmatan mobiliti digital, webe, pada 11 April, 2017.

Naib Presiden Eksekutif, Imri Mokhtar berkata, pakej produk itu kini berada di peringkat akhir penyediaan, namun PKS yang berminat boleh mendaftar dengan TM.

"Dalam usaha membantu PKS mempercepatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta Internet Kebendaan (IoT), kami telah bekerjasama dengan mereka bagi memahami dan menentukan perkhidmatan terkini PKS sebelum mewujudkan pakej tersebut.

"Ini akan memastikan pakej itu benar-benar memberi manfaat kepada PKS, walaupun mereka berada di luar kediaman atau pejabat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran peringkat pertama SME BizFest 2017 oleh TM di sini, Rabu.

Acara itu merupakan aktiviti tahunan TM.

Beliau berkata, antara ciri pakej itu ialah tawaran pakej akan hampir sama dengan pakej perkhidmatan mudah alih individu webe, bagaimanapun ia mempunyai beberapa nilai tambah, tanpa kontrak dan penggunaan data Internet tanpa had.

Dalam perkembangan lain, Imri berkata, TM menyasarkan antara lapan dan 10 peratus pelanggan isi rumah melanggan dengan perkhidmatan webe tahun ini berbanding dua peratus setakat 31 Dis, 2016.

TM mempunyai pelanggan keseluruhan kira-kira 2.7 juta setakat ini.

Mengenai SME BizFest 2017, beliau berkata, acara itu merupakan edisi keenam, yang diadakan khusus bagi menyokong tumpuan PKS dalam mempertingkatkan aktiviti jualan dan pemasaran, menambah pengeluaran dan pengalaman pelanggan melalui penglibatan 20 rakan kongsi dan pempamer di acara itu untuk membantu sektor PKS.

Beliau berkata, tawaran istimewa dan promosi juga disediakan untuk PKS, yang boleh memberi penjimatan sehingga RM2,000.

Acara bertema "Innovate to Dominate: Go Digital" itu juga akan diadakan di Kuching (30 Mac), Kota Bharu (4 April), Johor Bahru (11 April) dan Kota Kinabalu (11 Mei) dengan keseluruhannya dijangka dapat menarik lebih 6,000 PKS.

SME BizFest, turut disokong oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC).

Artikel Lain