KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) komited untuk memberi pulangan dividen kompetitif bagi produk pelaburannya secara keseluruhan tahun ini berikutan unjuran prestasi sektor korporat yang lebih baik. Pengerusi Kumpulan Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata jangkaan tersebut adalah berdasarkan prestasi memberansangkan yang ditunjuk oleh syarikat pelaburan PNB di pasaran saham Bursa Malaysia pada suku pertama tahun ini. "Tahun ini, kami menjangka sektor korporat mencatatkan prestasi baik dari segi peningkatan pendapatan yang dijangka meningkat sebanyak 5-7 peratus," katanya pada Majlis Jalinan Rakan Korporat Minggu Saham Amanah Malaysia 2017 (MSAM 2017), disini, Isnin. Abdul Wahid turut menjangkakan saiz dana keseluruhan yang diurus oleh PNB meningkat pada kadar purata sebanyak lima peratus setahun sehingga 2022. Beliau berkata pertumbuhan tersebut, yang dilihat sejak tahun lepas, menurun berbanding 13 peratus yang dicapai sebelum ini kerana kebanyakan para pelabur sudah hampir mencapai kadar had pelaburan yang ditetapkan terutamanya bagi dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional Bhd. "Memandangkan kita ada had yang diberikan terhadap pelaburan yang dibuat oleh para pelabur seperti RM200,000 bagi ASB, jadi peningkatannya dari setahun ke setahun selepas ini akan berkurangan," katanya. Pada penghujung 2016, PNB menguruskan RM260 bilion dana yang membabitkan 212 bilion unit dalam edaran. Sementara itu, Abdul Wahid berkata PNB menyasar 150,000 pengunjung ke MSAM 2017, yang dijadualkan berlangsung di Dataran Temerloh, Pahang, 20-25 April ini. Antara pengisian menarik MSAM 2017 yang berkonsepkan 'Menyelami Kehidupan Rakyat Malaysia' ialah Jejak Pelabur Bijak, Simposium Usahawan PNB-MIDF, MNRB Ringgit Savvy, Seminar Khas Kewangan ASNB, dan Hibur Labur Bersama PNB. Semenjak 2000, acara tahunan MSAM telah menarik lebih 3.3 juta pengunjung. Inisiatif pendidikan pelaburan bersepadu itu telah menjelajah ke 14 buah negeri seluruh negara. Tahun lepas, MSAM 2016 diadakan di Stadium Tun Ahmad Sarji di Tapah, Perak mencatatkan 215,000 pengunjung. -- Bernama