MUMBAI: Cabang pengeluaran dan pemasaran minyak pelincir global Petronas, Petronas Lubricants International Sdn Bhd (PLI), bersedia untuk menerajui pasaran minyak pelincir Malaysia, dengan memanfaatkan kemajuan teknologi yang terdapat dalam produk terkininya, Petronas Sprinta dengan Ultraflex. Menurut kajian, Petronas Sprinta dengan Ultraflex, minyak motosikal baharu, mampu memberi perlindungan enjin sehingga 41 peratus lebih daripada yang ditetapkan dan menghalang masalah minyak apabila terdedah kepada suhu tinggi 150 darjah Celcius. Rangkaian baru minyak pelincir Petronas Sprinta itu akan boleh didapati di peringkat global, secara berperingkat-peringkat, mulai suku kedua 2017 di Malaysia dan Vietnam, manakala Thailand pada suku keempat dan Indonesia tahun depan. Ketua Rantau Asia Pasifik PLI, Mohd Khalid Mohamed Latiff berkata PLI yang kini di tempat kedua dalam pasaran minyak pelincir Malaysia, bagaimanapun, telah bersedia membina jenama untuk menjadi peneraju utama di Malaysia. "Petronas Sprinta dengan Ultraflex berdaya saing di peringkat global, minyak pelincir canggih dan kami mahu membawanya ke pasaran Malaysia kerana yakin ia akan menjadi salah satu produk yang terbaik, (berbanding) yang terdapat di pasaran," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini. Bagi pasaran Malaysia, PLI akan menawarkan empat varian, iaitu F300 mineral untuk pasaran secara meluas, F500 semi-sintetik, F700 semi-sintetik dan F900 varian sintetik sepenuhnya. Mohd Khalid berkata PLI kini menguasai 23 peratus bahagian pasaran di Malaysia, dan minyak motosikal merupakan segmen yang belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat. "Banyak pertumbuhan kami di Malaysia dicapai melalui hubungan dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) utama dan ada di antaranya dengan OEM global dan tempatan. "Pada September tahun lepas, kami telah melancarkan minyak pelincir komersial kami, Petronas Urania, dilengkapi dengan formulasi baru. Kami menyaksikan tarikan yang sangat baik di pasaran, ini merupakan bidang pertumbuhan yang kami mahu perluaskan," kata Mohd Khalid. Asas kedua pertumbuhan adalah melalui perwakilan PLI di kedai-kedai dan bengkel kerana ia telah menunjukkan potensi pertumbuhan yang baik dalam segmen berkenaan pada tahun lepas, katanya. "Asas pertumbuhan ketiga ialah segmen minyak motosikal ... ini adalah segmen yang akan kami beri tumpuan kerana Petronas Sprinta dengan Ultraflex akan membantu kami di pasaran," katanya. Mohd Khalid berkata PLI juga merancang untuk melibatkan pengguna melalui pelan pengaktifannya, melibatkan mereka yang mahu mencuba dan mengalami sendiri produk berkenaan. PLI yang ditubuhkan pada 2008, mengeluar dan memasarkan pelbagai minyak pelincir automotif dan industri berkualiti tinggi di lebih 100 pasaran di seluruh dunia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur, PLI mempunyai lebih 30 pejabat pemasaran di 26 negara, dan diuruskan melalui pejabat wilayah di Kuala Lumpur, Turin, Belo Horizonte, Chicago dan Durban.-- Bernama