suria

KPD Serah Bayaran Hutang, Dividen RM3.53 Juta Kepada Kerajaan Sabah

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

KOTA KINABALU: Koperasi Pembangunan Desa (KPD) yang juga agensi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah, pada Selasa membuat pembayaran hutang dan dividen sebanyak RM3.53 juta kepada kerajaan negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin berkata jumlah itu termasuk pembayaran dividen RM1 juta yang diraih menerusi keuntungan KPD pada tahun lepas.

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berharap semua agensi di bawah kementerian itu dapat bekerja keras serta mengadakan strategi untuk menjayakan perniagaan masing-masing.

"Saya juga berharap agensi yang belum mencapai prestasi baik dapat lebih aktif dalam perniagaan.

"Mereka seterusnya dapat membayar dividen yang dapat digunakan oleh kerajaan negeri untuk membela rakyat, khususnya di luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pihak KPD menyerahkan cek pembayaran berkenaan kepada kerajaan negeri di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Cek itu disampaikan oleh Pengerusi KPD Datuk Saddi Abdul Rahman kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Datuk Pg Hassanel Pg Mohd Tahir dan turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri.

Sementara itu, Saddi berkata pembayaran hutang RM1 juta itu adalah yang terakhir bagi suntikan dana diterima daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, kemampuan KPD memberi sumbangan dividen juga membuktikan ia berkemungkinan tidak lagi perlu mengharapkan suntikan dana kerajaan Sabah untuk memajukan perniagaan.

"Ini (pembayaran hutang dan dividien) menunjukkan KPD mencatat kemajuan dalam pengurusan bagi menjana pendapatan.

"Usaha sama dengan syarikat lain dalam penanaman kelapa sawit juga merupakan antara faktor kemampuan KPD menjana pendapatan sendiri," katanya.

Menurut Saddi, usaha sama itu melibatkan penanaman kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 8.9 hektar di Sandakan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain