KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan khusus Malaysia Airlines bagi membawa jemaah Haji dan Umrah dijangka memulakan operasi pada akhir tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS, Peter Bellew. Beliau berkata pesawat pertama membawa jemaah ke tanah suci Mekah itu yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan juga dari seluruh dunia dijangka tersedia bagi jemaah yang akan mengerjakan Umrah pada Disember 2018 dan Januari 2019. "Kami akan dapat membawa enam pesawat dan ia telah disesuaikan dengan penyediaan ruang solat, tempat wuduk bagi memberi kemudahan dan keselesan kepada jemaah dalam perjalanan mereka ke Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah," katanya. CEO MAS itu berkata demikian semasa sesi wawancara bersama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Mikhail Raj Abdullah dalam program perniagaan baharu rancangan bual bicara BNC ''Biz Talk''. Program bersiaran selama 30 minit itu yang dihoskan oleh Mikhail dan Masrenny Masri, disiarkan setiap Jumaat pukul 8.30 malam di saluran CH502 Astro, Hyppy TV, MYTV dan boleh dilayari di www.bernama.com. BNC juga akan menyiarkan wawancara penuh selama 30 minit dengan Bellew itu pada pukul 8.30 malam, Isnin, 17 April, di saluran Ch502 Astro, Hyppy TV, MYTV di mana beliau juga akan membicarakan mengenai penyusunan semula syarikat itu, pengembangan laluan dan pelbagai perkara lain. Bellew, yang mengambil alih jawatan CEO MAS pada 1 Julai, 2016, berkata bagi syarikat penerbangan Haji baharu itu, yang juga dikenali sebagai Project Hope, MAS akan mengubahsuai enam pesawat Airbus A380 bagi pakej Haji/Umrah. "Kos juga akan dikekalkan kerana kami akan mempunyai pesawat besar dengan bilangan tempat duduk yang menjimatkan," katanya. Beliau berkata MAS menggunakan pesawat A380 ke Arab Saudi bagi jemaah yang mengerjakan Haji/Umrah dan ia sangat berjaya. "Ketika ini, kami menyediakan hanya di bawah 500 tempat duduk dan ia boleh dipasang lebih 600 tempat duduk dan itulah yang kami rancang lakukan pada 2018. Kami akan menggantikan tempat duduk dan memasang set baharu, menambah tempat duduk tambahan. "Dan juga bagi pihak berkuasa di Arab Saudi, ia akan memberikan penggunaan slot pendaratan lapangan terbang yang lebih baik dan juga kawasan di get. "Jadi kami akan dapat menguruskan ramai orang dari Malaysia dan negara-negara lain di dunia untuk mengerjakan Haji dan Umrah dan mengurangkan kos. "MAS akan menawarkan penerbangan mengerjakan Haji/Umrah kepada penumpang dari seluruh dunia."Ia akan diuruskan oleh orang Malaysia dan dikendalikan oleh jurutera Malaysia. Kami menerima minat awal yang baik, saya rasa ia akan menjadi penggunaan pesawat yang lebih baik dan akan mencapai kejayaan," katanya. Bellew berkata enam pesawat itu akan dipasang semula pada pertengahan 2018 dan pesawat pertama dijangka dapat disediakan bagi perjalanan mengerjakan Umrah pada Disember 2018 dan Januari 2019. "Apa yang agak menarik bagi Malaysia adalah ia akan mewujudkan kira-kira 600 hingga 700 peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia untuk bekerja dengan syarikat penerbangan baharu ini kerana kami memerlukan juruterbang, anak kapal dan jurutera baharu dan mewujudkan peluang sampingan di negara ini," katanya. Apabila ditanya mengapa perlu menyediakan syarikat penerbangan khusus bagi penerbangan sedemikian, Bellew berkata: "Di seluruh dunia sekarang, banyak orang yang mengerjakan Haji dan Umrah menaiki penerbangan dengan pesawat yang berusia 15-20 tahun. "Beliau berkata pihak berkuasa Arab Saudi gembira melihat Malaysia Airlines menyediakan pesawat baharu A380 yang boleh mengangkut ramai orang dengan selesa pada kos yang rendah dan memanfaatkan dengan baik kemudahan di Arab Saudi. Menurut Bellew, MAS juga berharap dapat mengumumkan tidak lama lagi kakitangan kanan yang akan mengendalikan syarikat penerbangan baharu itu dan mereka masih sedang mencari calon CEO. Apabila ditanya sama ada syarikat penerbangan baharu itu akan menjadi anak syarikat milik penuh, beliau berkata akan ada pemegang kepentingan lain dan mereka juga menerima minat tinggi daripada peringkat antarabangsa. "Banyak persediaan yang dibuat bagi Haji dan Umrah ketika ini oleh banyak syarikat penerbangan berbeza, sebahagiannya beroperasi menggunakan pesawat yang telah berusia. "Jadi, kami percaya ini akan menjadi satu penggunaan hebat, kami sedang bekerjasama rapat dengan Airbus. "CEO Airbus berada di Malaysia baru-baru ini dam kami semakin hampir mencapai satu perjanjian dengan mereka untuk mengurangkan kos bagi penyenggaraan dan operasi pesawat bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang," katanya. - BERNAMA