suria

PNB Berjaya Tingkat Taraf Ekonomi Bumiputera, Maruah Negara

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ceria ketika menghadiri Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh.

TEMERLOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menyuarakan rasa bangga terhadap pencapaian Permodalan Nasional Berhad (PNB), yang disifatkannya bukan sahaja berjaya meningkatan taraf ekonomi Bumiputera, malah telah menebus maruah negara sejak penubuhannya pada 1981.

Najib berkata ia terbukti apabila syarikat-syarikat gergasi dan ternama antarabangsa, yang dahulunya milik ''negara'' yang menjajah Malaysia, berjaya ''dibawa pulang'' melalui strategi yang tepat dan kebijaksanaan mereka yang menerajui PNB.

"Kita tahu PNB, melalui strategi peristiwa ''Dawn Raid'' yang kita lakukan untuk membawa balik Guthrie ke Malaysia, berjaya menjadikan badan-badan korporat milik orang asing kini menjadi milik rakyat Malaysia.

"Inilah pada saya telah membuka minda kita bahawa kita memang boleh melakukan pembaharuan dan penstrukturan semula ekonomi negara.

"Hari ini PNB mengendalikan lebih 200 syarikat terbesar dalam negara," katanya ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh di sini.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakod, Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Untuk rekod peristiwa ''Dawn Raid'' atau serbuan waktu Subuh, merupakan kejayaan negara membawa balik syarikat perladangan terkemuka negara, Kumpulan Guthrie Bhd (Guthrie), dari London pada September 1981, dan diserahkan kepada PNB yang ketika itu baharu sahaja ditubuhkan.

Najib berkata PNB menerusi syarikat kumpulan, Sime Darby Berhad, juga berjaya membuktikan pencapaiannya dalam sektor perladangan dengan memilik 280,000 hektar ladang di Indonesia, 220,000 hektar di Liberia dan 350,000 hektar di Malaysia.

"PNB dilihat sebagai sebuah institusi dan instrumen untuk mencapai matlamat serta objektif Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan selepas itu kita dapat lihat bagaimana PNB berjaya dari setapak ke setapak sehinggalah hari saya anggap ia sebagai sebuah insitusi yang begitu unggul dan dibanggakan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada PNB atas kejayaannya mengagihkan dividen dan bonus kepada 13 juta pelabur melibatkan pembayaran sebanyak RM157.5 billion sejak penubuhannya pada 1981 sehingga 2016.

Beliau turut menegaskan walaupun DEB yang diasaskan Tun Abdul Razak Hussein telah berakhir, namun roh, semangat, falsafah dan prinsipnya tidak pernah ''berkubur'' sebaliknya menjelma menerusi penjenamaan baharu dan terkini dengan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera memasuki fasa kesejahteraan.

"Kalau matlamat asal DEB tertumpu kepada dua aspek iaitu peratusan pemilikan ekuiti dan pembasmian kemiskinan, maka sudah sampai masanya untuk kita lihat secara inklusif dan komprehensif kerana kalau kita hendak memajukan Bumiputera kita tidak boleh melihat kepada aspek pemilikan saham yang disenaraikan atau dalam bidang korporat semata-mata.

"Sebaliknya kita kena melihat dari segi pendidikan, berapa jumlah Bumiputera yang berjaya sebagai profesional, kalau mereka pekerja biasa pula, bagaimana tahap kemahiran yang dimiliki.

"Dari segi pemilikan aset, di mana rumahnya dan bagaimana persekitarannya. Kita tidak mahu lihat kecemerlangan semata-mata dalam bidang perniagaan, bahkan mahu membangunkan Bumiputera sebagai saintis terulung, ahli sukan bertaraf dunia atau bidang lain yang tersohor dan terkenal... baharulah kita akan jadi bangsa dihormati dan disegani.

"Inilah matlamat saya lebih-lebih lagi di bawah Transformasi Nasional 50 (TN 50) dan kitalah satu-satunya kerajaan yang mampu membawa transformasi ini kepada golongan Bumiputera dan negara," katanya.

Pada majlis itu perdana menteri yang juga Anggota Parlimen Pekan turut menyampaikan sumbangan PNB berjumlah RM700,000 kepada Pengarah Kesihatan Pahang Dr Sha''ari Ngadiman untuk menaik taraf Pusat Hemodialisis Mentakab di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Najib turut menyampaikan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger 2.2L XLT (AT) kepada pengunjung bertuah Adli Daud, 41, guru SK Belengu di sini.

MSAM 2017 bertemakan ''Pelaburan 360 PNB'' yang berlangsung selama enam hari sehingga 25 April, dijayakan oleh 12 syarikat Kumpulan PNB termasuk Malayan Banking Berhad, Sime Darby Berhad, I and P Group Sdn Bhd, SP Setia dan UMW Holdings Berhad.

Program yang dilancarkan sejak 2000 itu bermatlamat mendidik masyarakat mengenai pelaburan dan pentingnya merancang kewangan di samping berperanan mendekatkan PNB dan syarikat kumpulannya dengan rakyat Malaysia.

Pengisian MSAM 2017 termasuk Jejak Pelabur Bijak oleh Maybank, Jejak Pelabur Cilik oleh I and P Group, Simposium PNB-MIDF, Seminar Khas Kewangan ASNB dengan sasaran kehadiran pengunjung seramai 150,00 orang.

Pelbagai hadiah menarik turut ditawarkan kepada pengunjung bertuah termasuk Ford Ranger 2.2L XLT(AT), sebuah Toyota Vios 1.5 GX (AT), Perodua Bezza 1.3 Advance (AT) dan motosikal Yamaha R25 selain motosikal Honda Wave Dash Fi110, iPhone 7 dan 7 plus.

Artikel Sebelum

Public Bank Catat Untung

Artikel Berikut

Artikel Lain