KUALA LUMPUR: Pelabur global dan serantau terus yakin dengan Asean, walaupun ekonomi semakin mencabar, menurut Ernst and Young (EY) dalam laporan terkininya, "Rediscover Asean: a Growth Story of 10 Countries". Dalam kenyataan pada Khamis, firma perakaunan antarabangsa itu berkata Asean menjadi tumpuan bagi pelabur global, dengan jumlah perdagangan semakin meningkat dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 6.4 peratus kepada US$2.3 trilion (US$1=RM4.33) pada 2015. Katanya aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini mencapai CAGR dua angka sebanyak 11.5 peratus pada dekad yang lalu, sambil menambah, kadar pertumbuhan pelaburan antara rantau hampir dua kali ganda daripada FDI luar rantau ini. "Negara anggota Asean dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik antara tiga dan lapan peratus bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan CAGR kolektif sebanyak 5.1 peratus dari 2017 hingga 2021. "Pasaran pesat membangun Kemboja, Laos dan Myanmar dijangka meningkat melebihi 7.0 peratus, manakala pasaran membangun Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam, diunjurkan menjana CAGR yang kukuh sebanyak 5.0-6.0 peratus," katanya. Rakan Pengurusan EY ASEAN dan Singapura Max Loh berkata dengan dasar Komuniti Ekonomi Asean yang menggalakkan integrasi ekonomi serantau, terdapat peningkatan yang lebih tinggi bagi pertumbuhan perdagangan antara Asean. "Dalam jangka masa panjang, Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau yang melibatkan Asean, Australia, China, India, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan, akan terus membantu memacu pertumbuhan perdagangan serantau," katanya.